KFA Jangan ‘Buat Semak’ Urusan JDT Dengan Akhyar

0
611

 

Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menegaskan pihaknya tidak perlu meminta kebenaran Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi mengadakan rundingan dengan bintang muda meningkat naik, Akhyar Rashid.

Bagi JDT, KFA tiada hak untuk menghalang mana-mana pihak berunding dengan Akhyar lagi kerana pemain tersebut sudahpun berstatus ejen bebas selepas pemain berusia 19 tahun itu menamatkan kontraknya bersama Kedah.

Menerusi satu status di media sosial Johor Southern Tigers, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menjelaskan pihaknya bersedia untuk menjelaskan segala bayaran yang ditetapkan sekiranya mereka berjaya mencapai persetujuan dengan AKhyar.

“Pampasan yang perlu dibayar oleh JDT kepada Kedah jika Akhyar bersetuju menandatangani bersama JDT ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas rundingan yang dibuat berdasarkan undang-undang bola sepak.

“JDT akan menghormati keputusan ini dan akan membuat bayaran sepatutnya jika kami mencapai perjanjian dengan Akhyar.

“Kami terkejut melihat akaun media sosial milik KFA yang cuba memanipulasi penyokong dengan menyebarkan maklumat kurang tepat berkenaan pengumuman skuad Harimau Selatan sedang berunding dengan Akhyar,” katanya.

Sebelum ini, FAM membuat keputusan Akhyar boleh menebus baki kontraknya selama setahun bernilai RM210,000 kepada KFA bagi membolehkan dia bergelar ejen bebas.

Manakala mana-mana pasukan yang ingin mendapatkan khidmat Akhyar perlu membayar RM75,000 kepada KFA sebagai pampasan untuk latihan dan pembangunan.

Namun keputusan yang dibuat FAM tidak dipersetujui oleh KFA yang menganggap pampasan RM75,000 tidak sepadan dengan usaha mereka menaikkan nama Akhyar.

Malam tadi akaun media sosial KFA memuat naik dua pautan berita dengan tajuk ‘Jumpa KFA jika mahu Akhyar’ dan ‘Pampasan RM75,000 buat Akhyar tidak sepadan.’

Kemaskini itu dibuat sebagai ‘serang balas’ selepas JDT mengumumkan mereka sedang mengadakan rundingan untuk mendapatkan khidmat Akhyar.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here