Khalid Ali: Keputusan Akhyar Berpindah Ke JDT Adalah Tepat

0
197

 

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berpendapat keputusan Muhammad Akhyar Abdul Rashid berpindah ke pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah tepat bagi mengembangkan bakatnya.

Bagi Khalid, sebagai pemain muda berbakat, Akhyar perlu mencari pasukan yang boleh menjamin masa depannya.

“Ini liga profesional, semua (pihak) kena terima hakikat. Semua kena terima perpindahan ini.

“Karier sebagai pemain bola sepak boleh dikatakan tidak berpanjangan, setakat 10 hingga 13 tahun sahaja.

“Jadi, mereka kena cari satu tempat yang boleh menjamin masa depan yang cerah.

“Mereka kena cari ‘tempat’ terbaik, gaji yang baik, yang boleh menampung di hari tua nanti.

“JDT adalah satu tempat yang boleh memberi masa depan cerah kepada pemain bola sepak.

“Kita tidak boleh nafikan JDT adalah satu tempat idaman pemain Malaysia kerana adanya fasiliti yang lengkap yang boleh bawa pemain ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada media.

Dalam masa yang sama, Khalid mengatakan undang-undang melibatkan perpindahan pemain bola sepak yang ada kini agak longgar.

Oleh itu, Khalid berpendapat amat penting untuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertegas dalam perkara itu agar arena bola sepak negara tidak terus dihujani isu perpindahan seperti yang berlaku terhadap Akhyar.

Skuad Harimau Selatan telah mengikat kontrak selama empat tahun dengan Akhyar walaupun kontrak pemain muda itu dengan pasukan Kedah hanya akan berakhir pada 31 November depan.

Isu membabitkan perpindahan Akhyar terus berpanjangan selepas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tetap berkeras mengatakan pemain sayap lincah itu masih milik mereka.

Malah, KFA bersedia membawa kemelut itu ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) bagi menuntuk hak ke atas pemain berusia 19 tahun itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here