Klopp Akan Jadi Legenda Liverpool Jika Rangkul Kejuaraan EPL

0
177

 

Jurgen Klopp akan menempa nama dalam sejarah Liverpool jika dia mampu membawa The Reds menjulang kejuaraan pertama Liga Perdana Inggeris, kata bekas pemain Liverpool, Markus Babbel.

Liverpool kehilangan kedudukan teratas Liga Perdana selepas Manchester City merakamkan kemenangan 2-0 ke atas Everton kelmarin.

Pungutan tiga mata itu membawa City ke puncak liga dengan kelebihan jaringan bagi mempertahankan kejuaraan yang diraih mereka musim lalu.

Skuad kendalian Klopp, bagaimanapun, masih berkelebihan satu perlawanan ketika mereka di landasan terbaik untuk menamatkan kemarau kejuaraan liga selama 29 tahun itu.

Bagi Babbel, kejayaan meraih kejuaraan itu akan meletakkan Klopp sebaris dengan legenda Liverpool yang lain seperti Kenny Dalglish, Bill Shankly dan Bob Paisley.

“Ia akan menjadi persaingan yang amat sengit,” kata Babbel — yang beraksi bersama Liverpool dari 2000 hingga 2004 — kepada Omnisport.

“Man City mengalami masalah musim ini, kini Liverpool turut berdepan beberapa isu.

“Amat sukar untuk mengekalkan prestasi terbaik sepanjang musim.

“Ia adalah lumrah dalam bola sepak, namun saya berharap Liverpool mampu untuk melakukannya.

“Klopp merupakan jurulatih yang hebat. Dia mencabar salah satu pasukan terbaik dunia dan jika anda mahukan kejuaraan, tekanan sentiasa akan tiba.

“Setakat ini, dia menangani tekanan itu dengan amat baik dan mengawal segalanya dengan sebaik mungkin.

“Dia merupakan jurulatih kelima terbaik dalam sejarah Liverpool.

“Disebabkan penantian itu terlalu lama, ia akan mengecewakan penyokong setia mereka jika Liverpool gagal meraih kejuaraan musim ini.

“Jika dia mampu memberikan kejuaraan, dia akan menjadi jurulatih terbaik dalam sejarah Liverpool,” katanya.

Liverpool berpeluang untuk melonjak kembali ke tangga teratas liga ketika melayani kunjungan Bournemouth di Anfield, malam esok.

– STADIUM ASTRO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here