Leburnya Rekod Tanpa Kalah City Di Stamford Bridge

0
180

 

Chelsea mencipta kejutan apabila berjaya ‘menghadiahkan’ kekalahan pertama Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL). Perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge itu menyaksikan Chelsea menang dengan keputusan 2-0.

Permainan Chelsea terbukti menjadi anti-taktik untuk City. Kedua-dua pasukan menggunakan taktik yang sama tetapi tidak serupa, Chelsea kelihatan tampil lebih efektif apabila mendapat peluang.

Ianya terbukti apabila peluang yang dimiliki Chelsea tidak banyak tetapi Eden Hazard dan rakan sepasukan yang lain bijak memanfaatkan peluang yang diperolehi.

Chelsea seolah-olah membiarkan City mendominasi penguasaan bola dan menunggu waktu yang tepat untuk melancarkan serangan.

David Luiz layak diangkat sebagai salah seorang pemain terbaik dalam perlawanan tersebut.

Baca ulasan penuh perlawanan di bawah ini:

Babak Pertama

City memulakan perlawanan cukup garang dan anak buah Pep Guardiola berjaya menguasai bola dengan salin bertukar-tukar hantaran. Namun, Chelsea bertindak balas dengan menerapkan permainan garis pertahanan tinggi.

Perlawanan berlangsung dengan tempo yang cukup tinggi tetapi kedua-dua pasukan gagal mencipta gerakan yang betul-betul mengancam gawang. City sememangnya lebih ofensif tetapi Chelsea mampu bertahan dengan baik.

Sejak dibimbing Maurizio Sarri, Chelsea memang lebih mengutamakan penguasaan bola dan pergerakan tanpa bola. Taktik ini sebenarnya mirip dengan prinsip Guardiola dan atas faktor ini menyebabkan perlawanan berlangsung agak seimbang.

Stamford Bridge boleh dikatakan cukup tenang dan peluang terbaik pertama dalam perlawanan ini hanya muncul pada minit ke-33 menerusi Leroy Sane yang berjaya membawa bola masuk ke dalam kotak penalti Chelsea tetapi tetap gagal menghasilkan gol.

Pergerakan bola Chelsea tak berjalan dengan baik. Bola berulang kali terpaksa dikembalikan kepada Kepa Arrizabalaga untuk membina serangan daripada bawah. Bahkan ketika melakukan itu pemain Chelsea tetap ditekan pemain-pemain City yang menerapkan permainan tekanan tinggi.

Sehingga minit ke-41 tiada percubaan dari Chelsea sementara City sudah mencatat empat percubaan dengan satu cubaan tepat ke sasaran.

Walaupun City menguasai perlawanan, Chelsea mencipta kejutan dengan jaringan pertama. Bermula dari serangan City di kawasan pertahanan Chelsea, David Luiz melepaskan satu umpanan jauh ke Pedro di sebelah kanan padang serangan The Blues.

Pedro kemudian mengalihkan serangan ke sisi kiri yang disambut oleh Willian. Bola kemudian diterima Edan Hazard yang kemudian melakukan umpanan cut-back ke ruang kosong di tengah kotak penalti yang disambut dengan tendangan deras N’Golo Kante.

Chelsea 1-0 Manchester City di minit ke-45.

Statistik ternyata tak begitu penting. Terbukti, Chelsea berjaya meledak gol dengan peluang pertama.

Babak Kedua

Memasuki babak kedua, Chelsea tampil lebih agresif tetapi pemain Chelsea tidak takut untuk bermain bola di kawasan mereka sendiri meskipun sehebat mana City memberikan tekanan.

Chelsea nampaknya sengaja menarik pemain City mara ke depan untuk memudahkan mereka melancarkan serangan balas pantas dengan melakukan umpanan jauh ke penyerang sayap. Taktik ini terbukti mampu membahayakan pertahanan City.

Walaupun menguasai bola tetapi tak banyak yang mampu dilakukan pemain City. Kreativiti pemain City nampaknya hilang sehingga memaksa Guardiola melakukan pertukaran beberapa pemain untuk menyesuaikan dengan permainan Chlesea.

Leka menyerang skuad City mula cuai dalam pertahanan. Bermula dari tendangan sudut di sebelah kanan pertahanan City, David Luiz berjaya memperdayakan pemain pertahanan City untuk melepaskan tandukan yang kemas ke gawang Ederson.

Hasilnya gol kedua Chelsea terhasil pada minit ke-78 sekaligus membolehkan tuan rumah memimpin perlawanan dengan kedudukan 2-0. Chelsea mengajar City mengenai keberkesanannya.

David Luiz boleh dikatakan pemain terbaik dalam perlawanan kali ini apabila memulakan gerakan untuk gol pertama dan menjaringkan gol kedua.

Kedudukan 2-0 kekal berpihak kepada Chelsea sehingga pengadil perlawanan meniup wisel penamat sekaligus memberikan kekalahan pertama City untuk saingan EPL musim ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here