Lee Tuck: Aksi Final Tapi Macam Sarkas

0
646
Foto: Terengganu Football Club

 

Pemain import Terengganu FC (TFC) melahirkan rasa kecewa kerana gagal membawa pulang Piala Malaysia ke ke bumi Terengganu.

“Saya mohon maaf kepada peminat kerana gagal membawa pulang Piala Malaysia dan tidak dapat membantu pasukan hingga tamat permainan kerana kad merah,” kata arkitek TFC itu.

Itu merupakan reaksi pertama Tuck selepas perlawanan di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu yang menyaksikan skuad Penyu tewas 1-4 kepada Perak menerusi sepakan penalti, selepas terikat 3-3.

Pemain berdarah kacukan itu adalah nadi utama TFC dengan keupayannya sebagai perancang dan juga peledak.

Namun, pengadil kontroversi pada aksi Sabtu lalu, Suresh Jayamaran telah memerintahkan Tuck keluar padang pada minit ke-66.

Pemain yang digelar ‘Rooney Ganu’ itu menerima kad kuning kedua kerana mengasari pemain Perak sekaligus menyebabkan jentera tengah skuad Penyu tempang untuk merancang serangan.

Mengimbau aksi final tersebut, Tuck bagaikan tidak percaya dengan keputusan pengadil melayangkan kad merah kepadanya, namun terpaksa akur kerana menyedari keputusan tersebut tidak boleh diubah.

“Sukar untuk nyatakan sama ada saya berpuas hati atau tidak pada perlawanan akhir itu lebih-lebih lagi kami tidak menang selepas mendahului perlawanan pada babak pertama.

“Perlawanan itu dah jadi macam sarkas, dengan aksi pergaduhan dan terjahan liar daripada kedua-dua pasukan. Saya bagai tidak percaya pengadil gagal mengawal permainan dengan baik perlawanan itu.

“Malah banyak keputusan dibuat tidak tepat kepada kedua-dua pasukan, ia di luar jangka dan sukar dijangka sama sekali. Akibatnya pemain kedua-dua pasukan bagai mendapat ‘lesen besar’.

“Tetapi itulah bola sepak, saya terima kekalahan ini dan tahniah kepada Perak.

“Kepada peminat setia skuad TFC, sokongan anda memang kelas pertama. Saya sudah memberikan segalanya untuk pasukan bermula awal musim, malah menyasarkan satu piala bersama TFC, namun ia tidak menjadi kenyataan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here