Liverpool Kekalkan Rekod Tanpa Kalah, Tiada Masalah ‘Ayamkan’ United

0
258

 

Tiada masalah untuk Liverpool ‘ayamkan’ Manchester United dengan kemenangan 3-1 dalam perlawanan ke-17 Liga Perdana Inggeris (EPL).

Walaupun perlawanan berlangsung dalam tempo yang tinggi, namun hanya satu pasukan iaitu Liverpool yang bernafsu untuk menyerang manakala United seperti dijangka menggunakan taktik ‘parking bas’.

Babak Pertama

Sebaik perlawanan dimulakan, Liverpool bermain dalam tempo yang tinggi dengan mengepung pertahanan United.

Tanpa diduga Lukaku memperolehi peluang untuk mencetak gol pada minit ke-4, namun sayang pemain itu dikesan berada dalam kedudukan ofside. Selepas itu Lukaku seperti tidak wujud dalam perlawanan ini.

Serangan demi serangan yang dilancarkan Liverpool cukup-cukup memenatkan pemain pertahanan United.

Pada minit ke-7, De Gea terpaksa melakukan tindakan menyelamat untuk menepis percubaan Firmino.

‘Parking Bas’ United akhirnya bocor pada minit ke-24 apabila Mane berjaya melepaskan diri daripada perangkap ofside untuk menyambut umpanan Fabinho. Setelah mengawal bola dengan dadanya, Mane menendang bola dengan kaki kirinya yang gagal dihalang oleh De Gea.

Selepas memperolehi gol pertama, Liverpool lebih bernafsu menyerang dan mencipta beberapa peluang untuk menambah jaringan. Tetapi sebaliknya berlaku apabila pintu gol mereka dibolosi pada minit ke-33.

Umpanan silang yang dilakukan Lukaku dari kiri gawang Liverpool gagal ditangkap dengan kemas oleh Alisson. Bola muntah itu kemudian disambar oleh Lingard untuk memberikan gol penyamaan buat United.

Selepas itu, Liverpool memperlahankan tempo permainan dan babak pertama berakhir dengan keputusan 1-1.

Babak Kedua

Liverpool dan United memulakan babak kedua dengan tempo sedikit perlahan berbanding babak pertama. Namun pasukan bimbingan Jurgen klopp tetap lebih dominan menyerang sementara pasukan Jose Mourinho lebih sibuk di bahagian pertahanan.

De Gea antara individu yang paling sibuk untuk menyelamatkan gawang United daripada dibolosi. Pada minit ke-52, dia sekali lagi terpaksa melakukan tindakan menyelamat untuk menghalang tendangan cukup padu dari Firmino. Bola rebound disambar Keita, tetapi peluang tersebut berjaya diblok oleh Young.

Liverpool terus menyerang pertahanan United dan memperolehi banyak sepakan penjuru. Namun tak ada satu pun yang menghasilkan peluang terbaik untuk menambah jaringan.

Akhirnya Klopp mengambil keputusan membawa masuk Shaqiri pada minit ke-70. Tiga minit berselang, pemain dari Switzerland itu jelas tidak mengecewakan apabila berjaya merobek gawang De Gea. Bola sepakan kaki kanannya terkena kaki Young sebelum mengegarkan jaring gol United.

Ketinggalan 1-2, United tampil lebih ofensif untuk memburu gol penyamaan. Namun usaha mereka sia-sia apabila gagal menjelmakan gerakan terbaik untuk memecahkan benteng pertahanan Liverpool.

Shaqiri jelas menjadi wira Liverpool dalam perlawanan ini apabila sekali lagi mencetak gol pada minit ke-80.

Bekas pemain Stoke ini melepaskan satu rembatan deras dari luar kotak penalti yang terbias kaki Bailly. De Gea yang sudah tersalah langkah tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalang bola itu menerjah gawangnya.

Ketinggalan dua gol menyebabkan Mourinho memaksa pasukannya bermain lebih ofensif dengan membawa masuk Martia dan Mata.

Namun Liverpool tidak memberikan sedikit pun ruang buat United untuk menjaringkan gol sekaligus memberikan kemenangan 3-1 buat mereka. Kemenangan ini membolehkan The Reds kembali merampas kedudukan pertama liga daripada Manchester City.

Liverpool kini telah mengumpul 45 mata dari 17 perlawanan manakala United kekal di kedudukkan keenam liga dengan 26 mata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here