Liverpool Lawan Sebenar Arsenal

0
765

 

Selepas mengharungi permulaan sukar sebagai pengurus Arsenal, Unai Emery pantas melupakan kekalahan kepada Manchester City dan Chelsea untuk mengharungi 13 perlawanan tanpa kalah dan kembali dihormati.

Begitupun, ujian sebenar untuk menilai sejauh mana evolusi Emery di Gunners sejak dimalukan City pada minggu pembukaan tiba apabila Liverpool membuat kunjungan ke Emirates, esok.

Arsenal menang 12 daripada 13 perlawanan tanpa kalah yang direkodkan, dan hanya tercicir ketika diikat 2-2 oleh Crystal Palace pada minggu lalu selepas melepaskan dua penalti.

Begitupun, sepanjang tempoh berkenaan, mereka tidak bertemu dengan enam pasukan tangga teratas Liga Perdana musim lalu dengan kemenangan ke atas Watford dan Everton menjadi antara kemenangan ke atas pasukan di kedudukan 10 terbaik.

Emery masih mencari keseimbangan yang betul, dan cara bagaimana untuk membariskan dua penyerang bintangnya Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang di dalam pasukan.

Kombinasi Lacazette dan Aubameyang sudah pun mengumpul 14 gol musim ini dan ketajaman mereka di depan gawang berjaya menjauhkan Arsenal daripada masalah.

Perubahan yang dibawa Emery membawa hasil yang positif setakat ini dan patut diberi pujian dengan Arsenal ketika ini hanya ketinggalan empat mata di belakang pendahulu City dan Liverpool.

Keutamaan Arsenal pada musim ini masih kekal menghuni tangga empat teratas liga dan kembali ke kancah Liga Juara-Juara berbanding merebut kejuaraan dan laluan Emery nampak belum tersasar.

Begitupun, pengendali dari Sepanyol itu boleh menganggap lawan yang bakal ditentang esok sebagai inspirasi buat Arsenal bagi menentukan ‘produk terakhirnya’ di dalam kesebelasan utama.

Bos Reds, Jurgen Klopp memerlukan hampir tiga tahun untuk mendapatkan ramuan yang sempurna di bahagian serangan dan pertahanan sekali pun membawa Liverpool mara ke final di pentas Eropah termasuk ketika tewas kepada Sevilla yang dibimbing Emery dalam Liga Europa, dua tahun lalu.

Pada musim yang berlainan, satu mata mungkin boleh dianggap Arsenal sebagai keputusan yang bagus tetapi jika mereka ingin terus menghambat City, kemenangan meyakinkan ke atas Liverpool satu kemestian. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here