Malaysia Hadiahkan Mimpi Ngeri Buat Thailand Di Kota Bangkok

0
1075

 

Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mara ke pentas final Piala AFF Suzuki 2018 menerusi kelebihan gol tempat lawan setelah berjaya mengikat juara bertahan Thailand 2-2 pada separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, sebentar tadi.

Tiada pilihan buat Malaysia apabila terpaksa mempertaruhkan khidmat Mohamadou Sumareh sungguhpun pada awalnya pemain itu dikatakan dibelenggu kecederaan hamstring. Manakala Nazirul Naim pula mengambil posisi Syazwan Andik Ishak yang tercedera.

Malaysia yang beraksi cukup cemerlang dalam aksi pertama di Bukit Jalil pada Sabtu lalu, bagaimanapun memulakan permainan dengan lebih banyak bertahan apabila skuad bimbingan Milovan Rajevac mempamerkan corak permainan yang agresif.

Pertahanan negara pincang apabila Aidil Zafuan Abdul Radzak terpaksa dikeluarkan ekoran mengalami kecederaan. Pengendali negara, Tan Cheng Hoe mengambil keputusan membawa masuk Irfan Zakaria bagi menggantikan Aidil.

Ketika Irfan masih tercari-cari rentak, pemain Thailand mengambil kesempatan untuk menggamatkan stadium keramat mereka menerusi tandukan Thitipan Puangchan pada minit ke-21.

Mongkol Tossakrai yang menerima hantaran jauh daripada Supachai Chaided terus melakukan hantaran ke belakang bagi mencari Thitiphan Puangchan. Tandukan yang dilakukan Thitiphan terkena pertahanan gantian, Irfan yang terus membolosi gawang skuad negara.

Jaringan itu ibarat mengejutkan Harimau Malaya yang terluka yang memberikan tindak balas pantas.

Kegembiraan penyokong tuan rumah hanya bertahan tujuh minit apabila gawang mereka pula bergegar susulan rembatan kencang pertahanan negara, Syahmi Safari, yang terus menembusi bahagian atas kanan pintu gol yang dikawal Chatchai Budprom.

Jaringan yang kembali meningkatkan keyakinan buat para pemain negara bagi terus mengasak kubu Thailand.

Memasuki babak kedua, Thailand kembali menyerlah dengan beberapa hantaran tinggi yang nyaris memerangkap benteng negara.

Hasilnya pada minit ke-63, skuad Gajah Perang kembali memimpin permainan akibat kegopohan Irfan yang memberikan sepakan percuma.

Pemain gantian, Sumanya Purisai yang mengambil sepakan percuma itu berjaya mencari kepala Pansa Hemvibon. Meskipun tandukan pertama Pansa berjaya ditepis, tindakan susulan pemain itu telah menghukum kubu negara.

Tersentak dengan gol tersebut, Cheng Hoe mengambil keputusan mengeluarkan Safawi Rasid untuk memberi peluang kepada Akhyar Rashid memacu kebangkitan Malaysia.

Percaturan tersebut membuahkan hasil apabila berjaya untuk sekali lagi memadamkan kelebihan yang dimiliki Thailand.

Norshahrul Idlan yang mendapat hantaran lintang rendah daripada Syamer Kutty Abba melakukan percubaan sekaligus mengelirukan Catchai untuk gol penyamaan buat skuad negara.

Tertekan dengan kedudukan 2-2, Thailand menggandakan asakan untuk mencari gol ketiga untuk kembali memberikan kelebihan kepada mereka.

10 minit terakhir permainan menyaksikan Malaysia diasak hebat dan beberapa kali melakukan kesilapan di luar kotak penalti.

Perlawanan kemudian dilanjutkan selama lima minit melewati masa kecederaan.

Usaha skuad Gajah Perang untuk mencari gol ketiga hampir direalisasikan pada minit ke-83 tetapi tandukan daripada Pansa hanya singgah di palang gol.

Kira-kira 30 saat lagi wisel penamat akan ditiupkan, Thailand dihadiahkan penalti selepas Syahmi dikesan menampan bola dengan tangan yang menyebabkannya dilayangkan kad merah.

Begitupun, Adisak Kraison, yang kelihatan yakin semasa meletakkan bola di titik sepakan, gagal menyempurnakan sepakan tersebut sekaligus menghantar Malaysia ke pentas final.

Satu lagi keputusan aksi kedua separuh akhir yang menemukan Filipina dan Vietnam akan diketahui esok dengan aksi pertama final akan berlangsung di Bukit Jalil pada Selasa depan manakala pertemuan kedua pada 15 Disember.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here