Maradona: Tak Perlu Lagi Dewa-Dewakan Messi, Nak Jadi Ketua Pun Terpaksa Pergi Ke Tandas 20 Kali

0
1582

 

Legenda Argentina, Diego Maradona mengecam bintang senegara, Lionel Messi dengan mengatakan penyerang itu tiada ciri ketua di dalam padang dan tidak layak dianggap sebagai tuhan bola sepak.

Tambah Maradona lagi, Messi adalah pemain yang berbeza ketika bersama kelabnya Barcelona jika dibandingkan dengan skuad kebangsaan.

Maradona yang dilabel antara seorang daripada pemain terbaik sepanjang zaman bersama legenda Brazil, Pele membuat kecaman tersebut ketika dalam satu temuramah dengan Fox Sports.

“Kita tidak perlu lagi mendewa-dewakan Messi, dia adalah Messi apabila bermain untuk Barcelona. Messi adalah Messi apabila menyarung jersi kelabnya dan menjadi Messi yang lain ketika bersama Argentina,” kata Maradona.

“Dia adalah pemain hebat tapi bukan seorang ketua. Ia hanya langkah sia-sia untuk mengangkat seseorang itu sebagai ketua tapi pergi ke tandas sebanyak 20 kali sebelum perlawanan.”

Kenyataan ‘pedas’ itu ditujukan kepada Messi yang mengalami masalah gugup sebelum perlawanan sehingga muntah menjelang beberapa perlawanan penting.

Messi telah meraih banyak penghormatan dengan Barcelona dan lima kali bergelar Pemain Terbaik Dunia FIFA.

Tapi dia bergelut untuk memberikan persembahan terbaik apabila menyarung jersi biru dan putih Argentina.

Untuk rekod, Messi tewas dalam semua empat final dengan Argentina iaitu tiga dalam kempen Copa America dan Piala Dunia 2014 selain gagal menjaringkan gol di peringkat kalah mati dalam empat kejohanan Piala Dunia.

Messi telah membuat keputusan untuk berehat daripada arena antarabangsa selepas melalui satu lagi persembahan mengecewakan di Russia tahun ini ketika Argentina gagal melepasi peringkat 16 pasukan terakhir.

Bagi Maradona, keputusan Messi untuk berehat adalah sangat bagus.

“Kita tidak perlu memanggilnya buat masa ini, tapi saya tidak mengatakan ia untuk selama-lamanya. Kita perlu meredakan tekanannya,” katanya.

Argentina yang berwajah baru mengalahkan Iraq 4-0 pada Khamis lalu sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan sejak kejohanan di Russia.

Mereka bakal berdepan ujian besar Selasa ini menentang Brazil di Arab Saudi tanpa Messi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here