Mat Yo Tak Puas Hati Dengan Vietnam, Harap Dapat ‘Repeat’ Di Final

0
250
Foto: Sportflex Malaysia

 

Penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha meluahkan rasa tidak puas hati dengan kekalahan 0-2 kepada Vietnam dalam aksi Kumpulan A di Stadium My Dinh, Jumaat lalu.

Oleh itu, Norshahrul atau lebih dikenali Mat Yo berharap dapat bertemu sekali lagi dengan Vietnam untuk menebus kekalahan tersebut.

Dalam aksi itu, anak buah Tan Cheng Hoe mendominasi permainan namun dikecewakan dengan serangan balas pantas pasukan tuan rumah.

Kekalahan tersebut menyebabkan Malaysia yang mengumpul enam mata selepas tiga perlawanan tiada pilihan lain selain menewaskan Myanmar pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 November ini bagi melayakkan diri ke separuh akhir.

Mat Yo dikawal cukup ketat dalam perlawanan dengan Vietnam yang menyebabkan buat kali pertama dia gagal meledak gol. Sebelum ini dia menjaringkan gol di setiap perlawanan untuk membantu pasukan menewaskan Kemboja 1-0 dan Laos 3-0.

Foto: Sportflex Malaysia

“Saya tengok perlawanan malam ini (Jumaat) kita bermain dengan bagus. Semua pemain memberikan 100 peratus komitmen. Cuma cara Vietnam bermain, mereka berjaya mencipta dua peluang dan menjaringkan dua gol.

“Mungkin selepas ini, saya sangat berharap saya mahu bertemu kembali dengan Vietnam, saya memang tidak berpuas hati dengan mereka.

“Kita cuba fokus satu demi satu perlawanan, kutip tiga mata dengan Myanmar dan Insya Allah jika kita masuk final bertemu semula dengan Vietnam, kita akan bermain lebih berhati-hati,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan tersebut.

Mat Yo yang membantu skuad negara menjulang trofi Piala AFF 2010 tetap yakin mampu mengatasi Myanmar pada perlawanan terakhir kumpulan.

“Saya optimis kita akan menang dengan Myanmar dengan cara kita bermain malam ini (semalam), ia berbeza dengan corak ketika bertemu Kemboja dan Laos.

“Kita sudah bermain bagus tetapi malangnya kita kalah tetapi berdasarkan prestasi sekarang, saya yakin kita boleh menang,” kata Mat Yo.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here