Mat Yo Watak Penyelamat Harimau Malaya

1
728
Foto: FAM

 

Skuad Harimau Malaya meraih kemenangan kedua dalam saingan peringkat kumpulan Piala AFF selepas menewaskan Laos 3-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali Mat Yo sekali lagi menjadi watak penyelamat apabila meledak dua gol untuk memberikan tiga mata berharga buat skuad negara di hadapan penyokong sendiri.

Jaringan tersebut merupakan yang ke-3 buat Mat Yo, selepas dia turut meledak gol tunggal menewaskan Kemboja 1-0, di Phnom Penh pada perlawanan pertama, Khamis lalu.

Tan Cheng Hoe dilihat melakukan sedikit perubahan kepada kesebelasan utama berbanding ketika aksi pertama di Phnom Penh.

Syafiq Ahmad diberi kepercayaan untuk membarisi kesebelasan utama untuk mengambil posisi tengah Syamer Kutty Abba. Manakala Syazwan Zainon pula beraksi di bahagian sayap untuk mengantikan Mohamadou Sumareh yang mengalami kecederaan.

Di atas kertas, Harimau Malaya (ranking ke-169) diramal tidak mempunyai masalah untuk membenam Laos yang berada di ranking 181.

Skuad negara menguasai lima minit pertama perlawanan, namun dikejutkan dengan jaringan awal Laos menerusi sepakan percuma Phithack Kongmathilath yang cukup deras menewaskan Khairul Fahmi Che Mat di gawang pada minit ke-7.

Harimau Malaya kembali memperkemaskan gerakan selepas itu dengan beberapa kali mengancam kubu lawan, antaranya menerusi percubaan Mat Yo yang berjaya ditepis penjaga gol lawan, Saymanolinh Praseuth, pada minit ke-9.

Usaha berterusan pemain negara mencari gol penyamaan akhirnya membuahkan hasil apabila kapten pasukan, Zaquan Adha Abd Radzak berjaya menolak masuk bola ke gawang lawan pada minit ke-14 setelah menerima bola hantaran lintang Syahmi Safari.

Selepas Malaysia berjaya menjaringkan gol penyamaan, Laos lebih banyak berkampung di kawasan sendiri dan hanya menekan Malaysia menerusi serangan balas pantas.

Pada minit ke-21, skuad negara berpeluang untuk menambah jaringan, namun rembatan deras Safawi Rashid dalam kotak penalti sedikit tersasar.

Penguasaan hampir sempurna dipaparkan pasukan kebangsaan dalam babak kedua, namun kerap kali dikecewakan kekentalan Praseuth.

Buntu dengan kedudukan itu, Cheng Hoe menggunakan kesemua pemain penyerang yang ada dengan memasukkan Akhyar Rashid, Shahrel Fikri Md Fauzi dan Ahmad Hazwan Bakri menggantikan Syazwan, Safawi dan Syafiq.

Sekurang-kurangnya tujuh peluang terbaik disia-siakan pemain negara termasuk tandukan Aidil Zaquan Adha Abd Radzak yang terkena tiang gol, manakala bola tolakan Hazwan di depan pintu gol tersasar.

Pada minit ke-86, situasi kelam-kabut di hadapan gawang Laos dimanfaatkan Mat Yo yang menolak bola di bahagian kiri Praseuth untuk Malaysia memimpin perlawanan buat kali pertama.

Kebangkitan tersebut dilengkapkan Mat Yo menerusi gol kedua peribadi selepas menanduk masuk bola lambungan Akhyar Rashid pada masa kecederaan.

Kemenangan ini meletakkan Malaysia dalam kedudukan terbaik dalam misi memburu tempat ke separuh akhir, apabila akan bertemu Vietnam di Hanoi Jumaat ini dan Myanmar pada aksi terakhir di Bukit Jalil pada 24 November.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here