MFL Batalkan Penyertaan Perlis Dalam Liga M

0
52

 

Bekas pemain Perlis menganggap tindakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membatalkan penyertaan Singa Utara dalam Liga Malaysia (Liga M) sebagai tindakan yang tepat dan harus dijadikan pengajaran kepada pasukan lain.

MFL semalam membatalkan penyertaan Perlis selepas mendapati pasukan berkenaan tidak mempunyai kewangan kukuh termasuk berdepan masalah tunggakan gaji sejak awal musim ini.

Bekas perancang tengah Singa Utara, Mohd Badhri Radzi menjelaskan hukuman itu memang sepatutnya di ambil MFL bagi mengelak lebih banyak masalah yang timbul termasuk mengenai masa depan pemain.

“Ia pengajaran kepada pasukan lain supaya benda seperti ini tidak berlaku lagi. Setiap pasukan perlu jujur, kalau tiada duit cakap tiada duit dan usah tabur macam-macam janji.

“Bila berlaku kes macam ini ia pasti merosakkan bola sepak Malaysia. Contohnya ia satu kerugian buat pasukan lain yang sudah menang (ke atas Perlis),” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Selain berdepan masalah gaji, Perlis juga didakwa gagal melunaskan beberapa perbelanjaan lain termasuk jumlah sewa padang di latihan di Universiti Malaya (UM).

Untuk rekod, Singa Utara dinaikkan pangkat ke Liga Perdana musim ini selepas Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) berjaya meyakinkan MFL dengan perancangan awal mereka untuk menjadi pesaing utama termasuk mengikat beberapa pemain berstatus bintang.

Sementara itu, bekas penyerang kebangsaan Safee Sali pula berpendapat tindakan Perlis boleh ‘membunuh’ pemain khususnya mereka yang baharu saja terbabit dalam arena bola sepak profesional.

“Bagi pemain seperti saya mungkin ada pasukan mahu tetapi kalau pemain muda? Tolonglah fikirkan kepada pemain muda yang baharu ceburi bola sepak secara profesional,” katanya.

“Itu membunuh karier dan semangat pemain muda. Sebenarnya itu yang saya risaukan kerana merekalah yang akan warisi pemain sekarang. Kalau kita bunuh semangat dan karier mereka, siapa yang akan ganti tempat kami selepas ini?.”

BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here