MIFA Pilihan Utama Untuk Dipromosikan Ke Liga Super 2019

0
480

 

MIFA yang menamatkan Liga Premier 2018 di tempat ke-3 menjadi pilihan utama untuk dipromosikan ke Liga Super 2019 bagi melengkapkan senarai 12 pasukan bertanding setelah Felcra FC mengambil keputusan menarik diri.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam berkata, walaupun MIFA ‘sebelah kaki’ ke Liga Super mereka mestilah memenuhi beberapa syarat tertentu sebelum disahkan ‘naik pangkat’ musim depan.

“MFL telah menghantar surat kepada MIFA tentang lapan kriteria yang harus dipenuhi sebelum dipilih untuk dipromosikan ke unifi Liga Super Malaysia 2019.

“Antara kriteria tersebut adalah, membuktikan Lesen Kelab yang telah diluluskan oleh FAM, deklarasi pembayaran tertunggak, perancangan kewangan 2019 hingga 2021, pengauditan penyata kewangan yang telah dihantar ke FAM, perjanjian sewaan stadium bagi lima musim terakhir (2014-2018), carta organisasi pasukan, deklarasi intergriti bagi lima musim terakhir (2014-2018) dan perancangan pasukan bagi menaikkan jumlah penyokong dan memantapkan perhubungan bersama penyokong,” katanya.

Jelasnya lagi, MFL perlu membuat penilaian terperinci sebelum mengesahkan status MIFA ke Liga Super. Ianya penting bagi mengelak sebarang masalah berbangkit yang mampu menjejaskan perjalanan liga musim depan.

“Seperti berlaku tahun lepas, pasukan tempat ketiga telah diberi peluang untuk naik, tapi kita lihat pasukan tersebut telah menduduki tangga terbawah di penghujung musim.

“Jadi, kita perlu membuat penilaian dahulu sebelum mempromosikan pasukan ini di liga tertinggi supaya mereka bersedia dengan perancangan untuk memberi saingan kompetitif,” katanya.

Mengulas lanjut, perkara yang sama akan dilakukan dalam saingan Liga Premier 2019 yang turut menghadapi masalah kekurangan pasukan. Setakat ini hanya lapan pasukan sahaja sah beraksi dengan empat slot lagi kosong.

“Bagi memenuhi 12 slot tersebut, FAM akan mencadangkan empat pasukan dari Liga FAM yang akan dipromosikan dan seterusnya MFL akan membuat penapisan berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan. Keputusan akhir bagaimanapun tertakluk kepada Lembaga Pengarah MFL,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here