Naga Emas ‘Curi’ Dua Gol Di Kubu Harimau Malaya

0
166

 

Pemburuan kejuaraan kedua Piala AFF tampak sukar buat skuad Harimau Malaya selepas hanya seri 2-2 dengan Vietnam pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Untuk aksi malam ini pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe terpaksa melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utama dengan membawa masuk Amirul Azhan Azman dan Irfan Zakaria ekoran penggantungan Syahmi Safari serta kecederaan yang dialami pemain pertahanan senior, Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Walaupun beraksi di hadapan 90,000 penyokong sendiri di Bukit Jalil, anak buah Cheng Hoe dilihat sedikit gugup memulakan perlawanan tetapi berjaya terlabih dahulu menguji kubu lawan menerusi tandukan kapten, Zaquan Adhan Abdul Radzak yang menyambut hantaran lintang Syamer Kutty Abba, namun tandukan pemain itu tersasar ke tepi gawang.

Sebaliknya, kelekaan Malaysia akhirnya mengundang padah apabila dikejutkan dengan jaringan lawan seawal minit ke-22 menerusi Nguyen Huy Hung.

Kesilapan yang bermula dari Safawi yang kehilangan bola ketika cuba melepasi tiga pemain lawan sekaligus membolehkan pemain Vietnam mencipta serangan balas pantas. Walaupun penjaga gol negara, Farizal Marlias berjaya menampan bola percubaan pertama dari Hung Huu tapi usaha tersebut tidak mampu mengelak pintu golnya daripada dibolosi.

Belum sempat anak buah Cheng Hoe menyusun langkah, mereka dikejutkan dengan jaringan Pham Duc Huy menerusi rembatan dari luar kotak penalti menewaskan Farizal Marlias di gawang, tiga minit kemudian.

Sedar akan harapan tinggi yang dibawa oleh puluhan ribu penyokong di Stadium Nasional, skuad negara mula mengatur gerakan dan melakukan asakan bertali-arus.

Malaysia, yang merupakan juara edisi 2010 bangkit merapatkan kedudukan menerusi tandukan pertahanan tengah Shahrul Saad yang menyambar bola sepakan percuma Syamer Kutty Abba pada minit ke-36.

Pelawat hampir melebarkan kedudukan 11 minit selepas babak kedua bersambung, namun Farizal lebih bersedia untuk menyelawatkan gawangnya daripada terus dibolosi.

Stadium sekali lagi gamat dengan sorokan penyokong Harimau Malaya apabila Malaysia berjaya menjaringkan gol penyamaan yang ditunggu-tunggu.

Sepakan percuma di depan kotak penalti pada minit ke-60 digunakan sebaik-baiknya oleh bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi, apabila melepaskan ledakan kaki kiri yang melencong menewaskan Van Lam, sekali gus mengutip jaringan sulung dalam kejohanan dan menjadikan kedudukan 2-2.

Cheng Hoe membawa masuk Akhyar Rashid untuk mengantikan Norshahrul Idlan Talaha yang dilihat mengalami kecederaan. Namun percaturan itu masih tidak mampu untuk merobek gawang lawan.

Malaysia hampir memperoleh gol kemenangan pada minit akhir permainan namun sepakan percuma Syafiq Ahmad diselamatkan penjaga gol Dang Van Lam.

Kedudukan kekal 2-2 sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil, Christopher Beath, sekali gus menjanjikan cabaran getir Harimau Malaya di Vietnam dalam aksi kedua, Sabtu ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here