Nik Akif Kekal Bersama TRW, Faridzuen Ambil Keputusan Angkat kaki

0
871

 

Pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat menamatkan spekulasi perpindahan apabila mengambil keputusan untuk terus kekal bersama skuad The Red Warriors (TRW) musim depan.

Berita ini pastinya melegakan penyokong setia TRW kerana sebelum ini pemain itu dikatakan bakal angkat kaki selepas diintai pasukan dari Liga Super dan Liga Perdana.

Nik Akif yang merupakan pemain kelahiran Kuala Krai itu sebenarnya masih mempunyai kontrak sehingga 2021.

“Ya, saya akan terus kekal bersama skuad TRW musim depan biarpun mendapat tawaran daripada pasukan lain kerana saya menghormati kontrak berbaki dua musim lagi dengan Kelantan.

“Saya harap musim 2019 akan membuka lembaran baharu buat TRW selain menyasarkan sekurang-kurangnya satu piala selepas gagal melakukannya musim ini,” katanya kepada Berita Harian.

Nik Akif yang menyarung jersi Harimau Malaya mula membarisi skuad utama TRW awal musim ini selepas dinaikkan pangkat daripada skuad Piala Presiden Kelantan.

Pemain muda berusia 19 tahun itu bukan saja bijak merencana jentera tengah TRW, tetapi dia juga mampu meledak jaringan.

Namun keputusan sebaliknya diambil oleh penjaga gol Kelantan, Mohamad Faridzuean Kamaruddin mengesahkan bakal berhijrah ke pasukan dari Lembah Klang musim depan.

Faridzuean tetap mahu keluar daripada TRW musim depan meskipun Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) ada menawarkan kontrak baharu sambil mengharapkan penjaga gol itu terus kekal bersama mereka.

“Insya-Allah rundingan bersama pasukan baharu berjalan lancar dengan menyelesaikan urusan melengkapkan dokumen sebelum menandatangani kontrak.

“Terima kasih kepada KAFA dan seluruh peminat di negeri ini yang memberi sokongan dan peluang menyarung jersi Kelantan musim ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here