Nilai Pampasan RM75,000 Buat Akhyar Tidak Logik

0
607

 

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) melahirkan rasa kecewa dengan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menetapkan nilai pampasan hanya berjumlah RM75,000 sekiranya mana-mana pasukan ingin mendapatkan khidmat pemain mudanya, Akhyar Rashid.

Menerusi Setiausaha Kehormat badan induk bola sepak negeri itu, Mohd Asmirul Anuar jelas terkejut dan hairan bagaimana jumlah berkenaan ditetapkan sedangkan FAM langsung tidak membuat rundingan secara profesional atau ‘menang-menang’ sebelum ini.

“Bab ini kami kurang berpuas hati, adakah logik pasukan lain yang ingin mengambil pemain kami sekadar diletakkan harga RM75,000? Jumlah yang dinyatakan itu nampak tidak sepadan dengan usaha kami dan FAM seolah-olah tidak profesional dalam hal ini.

“Dan kami minta FAM kaji semula jumlah berkenaan yang kami anggap tidak patut. Kami tidak menyentuh bab pampasan individu Akhyar iaitu nilai tebus kontrak sebanyak RM210,000 kerana ia nilai pampasan individu dan antara Akhyar dengan kami sebagai majikan serta kontrak sehingga musim 2019.

“Yang kami pertikaikan adalah jumlah ditetapkan itu dan sepatutnya kami diberi ruang sebagai majikan dalam hal ini seadilnya, namun sebaliknya berlaku apabila FAM sendiri menetapkan jumlah RM75,000 dan bukan kami,” katanya menerusi Berita Harian.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Asmirul mengatakan pihaknya akan segera mendapatkan maklum balas FAM bagi menentukan kedudukan serta hak lebih adil buat KFA.

“Kami akan hubungi FAM dengan segara bagi menyelesaikan isu harga pampasan ini dan kami mahukan rundingan segera diadakan antara FAM dan KFA bagi membincangkan semula berkaitan isu ini.

“Bagi KFA, kami rela melepaskan Akhyar seandainya pihak kami mendapat jumlah bayaran pampasan sepadan selepas rundingan diadakan,” katanya.

Pada Isnin lalu, Jawatankuasa Status FAM mencapai keputusan menetapkan mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan khidmat Akhyar dikehendaki membayar sejumlah RM75,000 sebagai pampasan kepada pihak KFA.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here