PBSNT Nafi Jadi ‘Dalang’ Untuk Jatuhkan TCFC

0
210

 

Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) menafikan dakwaan kononnya badan induk itu menjadi ‘dalang’ untuk menghalang juara Liga FAM, Terengganu City FC (TCFC) beraksi di Liga Premier musim 2019.

Menerusi satu kenyataan rasmi, Setiausaha Agung PBSNT, Mohd Syahrizan Zain mengatakan pihaknya sentiasa menyokong penuh sebarang aktiviti bola sepak di negeri itu termasuk kelab-kelab yang serius membangunkan sukan nombor satu negera itu.

Tambahnya lagi, dakwaan yang mengatakan badan induk itu sengaja tidak memberikan kelulusan skuad yang digelar The Shark itu  juga adalah tidak benar.

“Setakat hari ini, PBSNT belum menerima surat berhubung TFC II dikekalkan atau ditawarkan untuk bermain di dalam Liga Premier musim 2019 begitu juga dakwaan halangan kepada TCFC bermain di Liga Premier sebagaimana yang digembar gemburkan.

“Pihak PBSNT tidak pernah menghantar sebarang surat rayuan atau surat untuk tidak membenarkan TCFC bermain di Liga Premier 2019. Kami juga tidak pernah membuat sebarang pertuduhan atau tuntutan di atas isu kelewatan dan kegagalan pembayaran gaji kepada pemain ataupun lain-lain hal berkaitan urusan perbelanjaan TCFC kepada FAM.

“Hal ini berada di bawah bidang kuasa pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL),” katanya.

Mohd Syahrizan menegaskan, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada FAM dan MFL untuk membuat keputusan samaada memberikan kebenaran kepada TCFC beraksi di Liga Premier atau pun memberi peluang kedua kepada Terengganu FC II (TFCII) yang tersingkir ke Liga FAM untuk menyahut cabaran itu.

“FAM berhak mengesyorkan dan memilih mana-mana pasukan yang layak untuk disyorkan kepada MFL setelah mengkaji keadaan pasukan dari segi kewangan, permasalahan dan sebagainya memandangkan perbelanjaan untuk Liga Super, Premier dan FAM adalah sangat berbeza.

“Jika TFC II dibenarkan bermain di Liga Premier 2019, sememangnya boleh dipertimbangkan kerana TFC II berjaya menjuarai Piala Cabaran 2018. Sebaliknya jika pasukan UKM FC atau pasukan lain yang juara CC2018, maka pasukan tersebut layak dipertimbangkan untuk beraksi di Liga Premier 2019. Ianya bergantung kepada keputusan MFL tanpa ada sebarang campur tangan PBSNT.

“Tiada niat atau komplot untuk tidak membenarkan TCFC beraksi bermain di Liga Premier 2019. PBSNT sebagai Ahli Gabungan FAM akur dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh badan induk tersebut dan juga menerima keputusan dari pengelola liga, MFL,” katanya lagi.

Terdahulu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengatakan TCFC telah hilang kelayakan beraksi di Liga Premier musim 2019 ekoran masalah tunggakan gaji yang berlarutan dan keengganan PBSNT memberikan kelulusan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here