Pemilik United Mahu Mourinho Terus Kekal Mengendali Red Devils

0
1594

 

Keluarga Glazer yang merupakan pemilik kepada Manchester United mahu Jose Mourinho terus kekal mengemudi skuad Red Devils.

Sokongan yang diberikan pemilik United itu pastinya melegakan Mourinho yang kini berdepan tekanan yang memuncak selepas United mempamerkan aksi yang cukup hambar.

Mourinho turut dikatakan tidak sebulu dengan Paul Pogba dan Anthony Martial.

Memburukkan lagi keadaan apabila United gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan terakhir mereka.

Sejak memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menentang Leicester City, Red Devils masih belum mampu meraih sebarang kemenangan di Old Trafford.

Beberapa laporan di Eropah menyebut bahawa pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino menjadi calon utama buat Ed Woodward untuk mengantikan Mourinho. Dalam masa yang sama, nama Zinedine Zidane turut dikaitkan dengan jawatan tersebut.

Namun ESPN melaporkan keluarga Glazer tidak memiliki sebarang perancangan untuk memecat Mourinho.

Malah mereka masih menaruh kepercayaan kepada pengendali dari Portugal itu untuk membantu United kembali bangkit daripada prestasi tidak menentu ketika ini.

Pemilik United itu juga dikatakan mahu memberi peluang kepada Mourinho untuk memulihkan situasi tegang di Old Trafford selepas mengambil kira prestasi cemerlang musim lalu.

Namun tekanan dijangka akan terus meningkat kerana rata-rata penyokong United telah meluahkan kekecewaan terhadap pasukan itu ketika seri tanpa jaringan dengan Valencia, awal pagi Rabu.

United akan bertemu Newcastel United di Old Trafford, Sabtu ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here