Ronaldo Bantu Juventus Julang Piala Super Itali

0
151

 

Cristiano Ronaldo muncul wira ketika Juventus memenangi Piala Super Itali di Arab Saudi.

Ronaldo menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk memberikan Juventus trofi pertama mereka musim ini dengan kemenangan 1-0 ke atas AC Milan.

Ini menjadi trofi pertama Ronaldo bersama Juventus sejak menyertai kelab gergasi Itali itu tahun lalu.

Menerusi tandukannya di separuh masa kedua, Ronaldo akhirnya mengakhiri penantian Juventus sebelum ini yang gagal dua musim berturut-turut menjulang Piala Super Itali.

AC Milan terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang 17 minit terakhir selepas pemain tengah mereka, Franck Kessie dilayangkan kad merah kerana mengasari Emre Can.

“Saya meraih gelaran pertama bersama Juventus, jadi saya amat gembira,” kata Ronaldo yang kini memiliki 28 trofi termasuk lima Liga Juara-Juara dan kejuaraan liga dari England, Sepanyol serta Kejuaraan Eropah bersama Portugal.

“Saya benar-benar mahukan ini, bagi memulakan tahun ini dengan baik. Ini hanya permulaan, kami akan mengambil satu langkah pada satu-satu masa.

“Kami sudah mendapat piala ini, sekarang kami harus terus bekerja keras untuk menjulang trofi seterusnya,” tambah Ronaldo.

Juventus kini mencatat kejuaraan terbanyak Piala Super Itali dengan lapan gelaran, melebihi satu kejuaraan dari AC Milan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here