‘Rooney Ganu’ Kekal, ‘Drogba Ganu’ Masih Berteka-Teki

0
1400

 

Pemain paling popular Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018, Lee Tuck mengambil keputusan untuk terus kekal bersama Terengganu FC (TFC) untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan sekaligus menamatkan kegelisahan peminat setia skuad Penyu.

Sebelum ini timbul desas-sesus mengatakan Tuck yang masih memiliki kontrak hingga 2019 akan membuat pusingan U selepas beberapa pasukan Liga Super berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

“Ya, saya akan terus kekal bersama TFC musim depan biarpun mendapat tawaran pasukan lain. Ini kerana saya sudah menikmati suasana yang baik di sini (Terengganu) dan gembira selain sudah serasi dengan rakan sepasukan.

“Saya harap musim 2019 akan membuka lembaran baharu buat TFC selain menyasarkan sekurang-kurangnya satu piala selepas gagal melakukannya musim ini,” kata Tuck.

Pemain yang diberi gelaran ‘Rooney Ganu’ dalam kalangan peminat setia skuad Penyu mula menyarung jersi TFC awal musim ini selepas berpindah dari Negeri Sembilan.

Pengendali TFC, Irfan Bakti pastinya lega dengan kekalnya Tuck kerana pemain dari England ini bijak merencana di jentera tengah dan juga mampu menjaringkan gol.

Pada aksi final Piala Malaysia menentang Perak bulan lalu, Tuck gagal menamatkan perlawanan selepas diarah keluar padang pada babak kedua susulan dilayangkan kad kuning kedua.

Sementara itu penyerang sensasi TFC, Kipre Tchetche masih belum memutuskan pasukan mana yang akan diwakilinya musim depan.

Minggu lalu, Tchetche yang diberi gelaran ‘Drogba Ganu’ memaklumkan akan mengumumkan statusnya minggu ini selepas mendapat lamaran beberapa pasukan.

“Tunggu, saya akan beri jawapannya selepas ini,” kata Tchetche ringkas kepada Sukan NSTP pagi ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here