Sabah Ikat Kelantan Di Kota Bharu

0
645

 

KELANTAN 3 SABAH 3

Hajat tuan rumah, Kelantan memburu kemenangan pertama tidak kesampaian apabila sekadar seri 3-3 dengan Sabah dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.

Kelantan yang berazam mencari kemenangan pertama bermula garang dan mendapat sepakan penalti apabila penyerang import kelahiran Afghanistan, Mustafa Zazai dijatuhkan pertahanan Sabah.

Flavio Beck Junior tenang menewaskan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim untuk membolehkan Kelantan mendahului 1-0 pada minit ke-6.

Enam minit kemudian, melalui sepakan percuma, Sabah menyamakan kedudukan apabila tandukan pemain tengah import dari Serbia, Luka Milunovic menewaskan penjaga gol The Red Warriors (TRW), Abdul Arif Abdullah.

Kelantan kembali menyerang dan hampir mendapat gol kedua apabila rembatan kencang Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni di tepis keluar, Rozaimie pada minit ke-18.

Bersambung babak kedua, TRW berjaya mendapatkan gol kedua apabila sepakan kencang penyerang import kelahiran Uruguay, Raul Tarragona Lemos ditampan masuk pemain tengah, Nik Akif Syahiran pada minit ke-52.

Larian solo Mustafa pada minit ke-58, menewaskan tiga pertahanan Sabah namun sepakan leretnya terus kedakapan Rozaimie.

Sabah hampir memperolehi gol kedua apabila tandukan kencang pemain import terbaharu dari Brazil, Luiz Carlos Junior terkena palang sebelum ditangkap kemas Abdul Arif pada minit ke-70.

Minit ke-78, penyokong tuan rumah terdiam apabila sepakan kencang pemain tengah Sabah, Maxsius Musa berjaya menewaskan Mohd Arif buat kali kedua.

Maxsius Musa sekali lagi menghukum kelalaian benteng pertahanan tuan rumah apabila sepakan leretnya berjaya menewaskan Abdul Arif pada minit ke-86.

Dua minit kemudian, Muhammad Danial Haqim Draman melegakan penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol penyamaan hasil sepakan percuma yang diambil Junior.

-STADIUM ASTRO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here