Sabah Ke Separuh Akhir Buat Kali Pertama Sejak 11 Tahun

1
1766

 

Hampir 11 tahun menanti, pasukan Sabah akhirnya layak ke separuh akhir Piala Malaysia selepas berjaya menewaskan Kelantan 1-0 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Likas, malam tadi.

Walaupun kedudukan agregat terikat 2-2, Sabah menyingkirkan Kelantan menerusi kelebihan satu jaringan di tempat lawan menjadikan mereka wakil tunggal pasukan Liga Perdana bersaing hingga ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Pasukan tuan rumah bimbingan Jelius Ating bermula hambar pada separuh masa pertama dengan memberi laluan kepada Kelantan mengawal permainan.

Kelantan terlebih dahulu mencemaskan pintu gol Sabah menerusi cubaan Mohd Khairul Rizam Che Soh seawal minit ke-3, namun rembatan pemain tersebut berjaya diselamatkan penjaga gol, Rozaimie Rohim dalam keadaan satu lawan satu.

Pengadil perlawanan, Fitri Maskon menghadiahkan Sabah sepakan penalti selepas bola terkena tangan salah seorang pertahanan Kelantan.

Paunovic yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut dengan tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk meletakkan Sabah di hadapan pada minit ke-30 sekaligus menceriakan 20,000 penyokong yang hadir ke stadium.

Kelantan cuba untuk bangkit memperkemaskan permainan bagi memburu gol penyamaan, namun setiap serangan mereka berjaya dipatahkan pertahanan Sabah yang dikemudi ketua pasukan, Rawilson Batuil.

Kedudukan 1-0 kekal berpihak kepada Sabah sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, perlawanan tampak seimbang di awal permainan namun tuan rumah berjaya memperolehi peluang terbaik untuk menggandakan kedudukan pada minit ke-62 menerusi percubaan Mohd Azzizan Nordin, namun penjaga gol Kelantan, Mohd Faridzuean Kamaruddin bertindak cemerlang menafikan percubaan pemain tersebut.

Sabah terus garang memburu jaringan dan hampir memperolehi gol kedua menerusi rembatan kencang Alto Linus dari luar kotak penalti, namun Faridzuean sekali lagi cemerlang menafikan percubaan tersebut.

Seminit kemudian, Paunovic memiliki peluang keemasan memberikan gol kedua buat tuan rumah, bagaimanapun, cubaannya hasil hantaran cantik Maxsius Musa sedikit tersasar di sebelah kanan tiang gol lawan.

Kelantan bagaimanapun cuba bangkit di minit-minit terakhir perlawanan sehingga hampir membolos gol Sabah pada minit ke-90 menerusi tandukan Shafiq Shaharudin , namun tandukan pemain itu hanya mengegarkan palang gol.

Di masa kecederaan permainan, perlawanan semakin ‘panas’ apabila penyerang import Kelantan, Cristiano Marcolino Santos dilayangkan kad merah.

Kedudukan 1-0 kemudian kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus melayakkan Sabah ke peringkat empat terbaik selepas kali terakhir melakukannya pada 2007.

Featured Image: IRWAN MAJID

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here