Sabah Yakin ‘Gema Likas’ Mampu Buat Perak Berputih Mata

1
424

 

Sabah yang dibelasah 5-0 oleh Perak di Stadium Perak, 7 Oktober lalu bakal berdepan cabaran getir dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Likas, Ahad ini bagi merealisasikan impian mara ke pentas final.

Walaupun memiliki kelebihan beraksi di halaman sendiri, namun skuad badak perlu memastikan pintu gol mereka tidak dibolosi dan perlu menjaringkan sebanyak mungkin gol.

Keadaan menjadi semakin sukar buat skuad badak apabila mereka berdepan dengan isu kecederaan yang berlaku kepada beberapa tonggak utama yang pastinya akan menjejaskan prestasi pasukan.

Walau bagaimanapun, ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating tetap optimis dengan kemampuan yang dimiliki anak buahnya untuk mencipta kejutan. Hal ini kerana berdasarkan pencapaian sebelum ini, skuad Badak pernah beraksi cemerlang di Stadium Likas apabila mengejutkan pasukan lawan dengan jaringan besar.

“Kita mengharapkan tuah bermain di Stadium Likas untuk membuat kejutan. Kita sedang berusaha mempersiapkan sebuah pasukan mantap untuk perlawanan separuh akhir kedua pada Ahad ini. Kalau melihat kepada sejarah, kita pernah mengatasi pasukan lawan (di Stadium Likasi) dengan gol yang besar.

“Pada masa itu, saya (sendiri) merupakan pemain (skuad Sabah). Kita atasi Terengganu 8-2, Selangor 5-1. Sebab itu, (saya katakan) dalam bola sepak, apa-apa boleh berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita Bernama pada sesi latihan skuad Sabah di Stadium Likas.

Mengulas mengenai isu kecederaan beberapa tonggak utama Sabah, Jelius mengatakan tidak dapat dipastikan lagi pemain berkenaan dapat diturunkan.

Antara pemain yang mengalami kecederaan ialah Mohd Azzizan Nordin dan Hector Ramos. Namun Jelius menjelaskan ada dalam kalangan pemain tersebut mungkin disenaraikan susulan tahap pulih mereka agak posistif.

Dalam masa yang sama, Jelius yakin pemain lain dalam pasukan mampu menggalas tanggungjawab beraksi dalam kesebelasan utama sekiranya kecederaan dialami tonggak utama tersebut tidak sempat pulih sepenuhnya.

Beliau berharap agar penyokong Sabah terus memberi sokongan padu kerana skuad Badak sudah lama menantikan saat beraksi dalam saingan separuh akhir, sekali gus mara ke pentas final Piala Malaysia.

 

 

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here