Safiq Dan Syukor Pilih Melaka United

0
134

 

Bekas ketua pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim dan bekas ketua pasukan Felda United, Shukur Adan memilih untuk menyarung jersi Melaka United bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Perkara tersebut disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) dalam satu sidang media hari ini.

Sepanjang kariernya, Safiq telah mengecapi pelbagai kejayaan di dalam dan luar negara antaranya membantu pasukan Johor Darul Ta’zim menjuarai Kejohanan Piala AFC pada 2015, menjuarai Piala Malaysia pada 2017, Juara Liga Super lima tahun berturut-turut (2014-2018) dan Piala FA 2016 di samping pernah membantu pasukan Selangor menjuarai Liga Super 2010.

Beliau juga menjadi tonggak utama Skuad Bolasepak Kebangsaan ketika menjuarai Piala AFF 2010 serta Pingat Emas Sukan SEA 2009.

Shukor pula boleh dikatakan pemain yang paling berpengalaman yang masih kekal beraksi ketika ini biarpun telah mencecah usia 39 tahun.

Sepanjang kariernya, beliau pernah mewakili beberapa pasukan seperti Negeri Sembilan, Selangor, ATM dan Felda United FC sebelum bakal mewakili pasukan negeri kelahirannya iaitu Melaka buat pertama kali di peringkat senior selepas pernah mewakili pasukan remaja Melaka antara tahun 1995 hingga 1997.

Sepanjang karier beliau juga tidak kurang hebatnya apabila pernah mengecapi kejuaraan Piala Malaysia pada 2002 dan 2005 bersama Selangor, serta pada 2009 dan 2011 bersama Negeri Sembilan.

Shukor juga turut membantu Selangor menjuarai Liga Premier dan Piala FA pada 2005 selain membantu Negeri Sembilan menjulang Piala FA pada 2010.

Enam lagi pemain yang ditandatangani Melaka United termasuklah R. Gopinathan (JDT), Mohd. Nazrin Mohd. Nawi (Perak), Mohd. Razman Roslan (Selangor), Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman (Felda United), Saiful Ridzuwan Selamat (Selangor) dan Mohd. Raimi Md. Nor (Pulau Pinang).

Kesemua lapan pemain baharu termasuk Safiq dan Syukor telah menandatangani kontrak semusim bersama pasukan kendalian Zainal Abidin Hassan dalam satu majlis yang turut disaksikan oleh Ketua Menteri yang juga Presiden MUSA, Adly Zahari di Seri Negeri, Ayer Keroh, sebentar tadi.

Hadir sama Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang juga Timbalan Presiden MUSA, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here