Semua Pemain Import Kedah Digugurkan

0
314

 

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengesahkan tidak akan memperbaharui kelima-lima pemain importnya pada musim ini, bagi menghadapi musim baharu 2019.

Lima pemain tersebut ialah Sandro Da Silva, Liridon Krasniqi, Alvaro Silva, Paolo Rangel dan Andik Vermansah.

Perkara itu diumumkan melalui Facebook KFA semalam, selepas Sandro mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong skuad Hijau Kuning apabila memaklumkan khidmatnya tidak disambung.

KFA turut memberikan penghargaan di atas khidmat cemerlang Sandro yang telah banyak membantu Kedah mengecapi kejayaan, sikap professional dan disenangi rakan, serta saat manis gol-gol cantik sebagai kenangan buat penyokong Hijau Kuning.

Tambah KFA lagi, Sandro akan terus dikenang sebagai antara pemain legenda Hijau Kuning dengan kejayaan tersendiri selepas empat musim.

Menerusi Facebook peribadi pemain import berpengalaman kelahiran Brazil itu, Sandro meluahkan perasaan sedih kerana tidak diberi peluang untuk terus menyarung jersi Hijau Kuning untuk tempoh satu musim lagi, selepas berbakti selama empat tahun.

“Kepada semua peminat yang telah menyokong saya selama ini, saya ingin memaklumkan pengakhiran tugas saya bersama Kedah pada musim ini.

“Saya dimaklumkan melalui emel oleh KFA, khidmat saya tidak disambung dan keputusan ini telah dibuat pengurusan, walaupun saya sudah mengumumkan mahu kekal bersama Kedah.

“Itulah bola sepak. Kita perlu bersikap profesional dan terus memandang ke depan. Saya tetap bangga dengan pencapaian dan kejayaan pasukan, demi penyokong yang sentiasa mahu menyaksikan perlawanan menarik,” kata Sandro.

Sandro mengucapkan terima kasih kepada semua pihak sepanjang berada di Kedah sejak musim 2015, namun tidak menyatakan perancangannya pada musim 2019.

“Sepanjang berada di sini (Kedah), saya seperti berada di negara saya (Brazil). Kita menang bersama, kalah bersama. Kita ketawa bersama dan pernah menangis bersama. Inilah dunia bolasepak dan saya akan merindui kamu semua,” ujar Sandro.

Sandro mula meyarung jersi Kedah sejak 2015, mula bergandingan bersama Liridon pada 2015 dan berjaya membawa Kedah kembali beraksi di Liga Super setelah merangkul Juara Liga Perdana musim 2015. Malah gandingan dua pemain ini juga berjaya membawa Kedah menjadi Naib Juara Piala Malaysia 2015.

Sandro turut menjadi watak penting membantu Kedah membawa pulang trofi Piala Malaysia 2016, Juara Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2017, Juara Piala FA 2017 dan Naib Juara Piala Malaysia 2017.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here