Skuad B-19 Negara ‘Pulang Awal’

1
300

 

Ketika Arab Saudi sudahpun memberi ‘bantuan’ dengan menewaskan Tajikistan 3-1, skuad negara mempersia-siakan peluang itu selepas tewas 2-0 pada aksi terakhir Kumpulan D Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di Stadium Pakansari, Bogor, sebentar tadi.

Kekalahan tersebut menyebabkan anak buah Bojan Hodak terpaksa ‘pulang awal’ apabila sekadar menghuni tangga tercorot Kumpulan D dengan mengumpul satu mata.

Kegagalan ini mengulangi nasib sama dengan skuad ‘adik’ yang turut menghuni tangga tercorot pada aksi Kejuaraan Bawah 16 Tahun (B-16) AFC 2018, bulan lalu.

China yang sebelum ini gagal meledak sebarang gol dalam dua aksi terdahulu akhirnya berjaya menjaringkan gol dengan membolosi gawang skuad negara sebanyak dua kali.

Bagimanapun kemenangan tetap tidak dapat membawa skuad China mara ke suku akhir kerana Tajikistan memiliki kelebihan dari segi perbezaan gol yang mengesahkan tempat kedua walaupun tewas di tangan Arab Saudi.

Dalam aksi itu, skuad negara berjaya menguasai babak awal permainan namun menghadapi kesukaran untuk menembusi barisan pertahanan China.

China mula mendapat rentak di pertengahan babak pertama dan Malaysia bernasib baik selepas beberapa hantaran yang dilakukan dalam kotak penalti digagalkan penyudah kurang kemas jentera serangan lawan.

Pada minit ke-44, Tao Qianglong berjaya membolosi gawang Malaysia sekaligus memberikan gol pertama China selepas tiga perlawanan.

Bersambung babak kedua, tidak banyak yang dapat dilakukan Malaysia apabila gerakan yang cuba diatur mudah dipatahkan anak buah Cheng Yaodong.

China menambah gol kedua perlawanan pada minit ke-58 menerusi rembatan jarak jauh Yang Yilin.

Tamat saingan peringkat Kumpulan D, Arab Saudi merakam rekod bersih menang ketiga-tiga perlawanan untuk mengutip sembilan mata sementara Tajikistan di tempat kedua dengan empat mata.

Aksi suku akhir menyaksikan Arab Saudi bertemu Australia sementara Tajikistan berdepan Korea Selatan.

 

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here