Subkhiddin Tampil Pertahankan Suresh

0
1609

 

Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempertahankan keputusan mereka memilih Suresh Jayaraman sebagai pengadil final Piala Malaysia antara Terengganu menentang Perak yang penuh kontroversi di Stadium Shah Alam.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Subkhiddin Mohd. Salleh berkata, beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap prestasi Suresh dalam perlawanan itu tetapi dalam masa sama menegaskan, pemilihan pengadil berusia 30 tahun tersebut bukan tangkap muat, sebaliknya dia memenuhi kriteria ditetapkan.

Suresh membuat beberapa keputusan kontroversi dalam perlawanan itu, termasuk membatalkan gol penyamaan pemain Perak, Leandro Dos Santos pada minit ke-31 selepas mendakwa dia mengasari penjaga gol lawan, Mohd. Suffian Rahman.

Dia juga membatalkan jaringan Gilmar da Silva pada babak kedua kerana berada dalam kedudukan ofsaid, selain melayangkan dua kad merah – satu untuk Gilmar dan satu lagi kepada penyerang Terengganu, Lee Tuck.

Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut mengkritik mutu pengadilan perlawanan itu, sambil menyatakan rasa terkejut bagaimana Suresh boleh terpilih.

“Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas pemilihan beliau atas beberapa faktor yang mana pada pendapat saya beliau mempunyai kemampuan untuk mengendalikan cabaran daripada kedua-dua pasukan.

“Kemampuan ini telah ditunjukkan dalam beberapa perlawanan sebelumnya,” kata Subkhiddin, yang bagaimanapun enggan mengulas mengenai prestasi Suresh dalam perlawanan itu kerana berada di luar negara.

SEBAB MENGAPA SURESH DIPILIH

* Dia mempunyai kemampuan untuk mengendalikan cabaran dari kedua-dua pasukan. Kemampuan ini sudah ditunjukkan dalam beberapa perlawanan sebelumnya.

*Pilihan lebih kepada Suresh selepas saya mendapati dia memberikan komitmen yang tinggi dan mempunyai sikap untuk bersaing secara sihat untuk memajukan dirinya.

*Dia ada pengalaman dua tahun dalam Liga Super selepas terlebih dulu berada dalam Liga Perdana yang juga sebahagian Liga Malaysia.

*Ini adalah sekian lama selepas beberapa tahun kita tidak mempunyai keterampilan seseorang pengadil berbangsa India di pentas final.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here