Sumareh ‘Lulus’ Ujian Pertama, Cetus Kebangkitan Harimau Malaya

1
1663

 

Penampilan pertama penyerang naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh bersama skuad Harimau Malaya memberikan impak besar apabila menjadi pencetus kebangkitan serta menjaringkan dua gol ketika membantu Malaysia membenam Sri Lanka 4-1 dalam aksi persahabatan Kelas A di Stadium Sugathadasa, Colombo, malam tadi.

Walaupun ketinggalan 0-1 pada babak pertama, anak buah Tan Cheng Hoe berjaya bangkit untuk melakar kemenangan.

Untuk rekod, ini adalah kemenangan keempat berturut-turut skuad Harimau Malaya bermula dengan menumpaskan Bhutan 7-0 (1 April), Fiji 1-0 (5 Julai) dan Kemboja 3-1 (10 September).

Bagi perlawanan semalam, Cheng Hoe melakukan sedikit rombakan terhadap kesebelasan utama pasukan berbanding ketika mengalahkan kemboja.

Penyerang berpengalaman Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, pemain pertahanan Matthew Davies, Adam Nor Azlin, pemain tengah Syamer Kutty Abba dan penjaga gol Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy antara yang diberi peluang beraksi kali ini.

Di atas kertas, Sri Lanka yang berada di rangking ke-199 dunia nyata bukan tandingan Malaysia malah skuad negara pernah membelasah mereka 6-0 pada pertemuan terakhir pada 28 April 2012.

Namun sebaliknya berlaku apabila skuad kendalian Mohamed Packeer Ali berjaya memberi tekanan kepada skuad Harimau Malaya (ranking 171) sejak awal permainan. Hasilnya menerusi satu serangan balas pantas, mereka berjaya mendahului apabila Asela Madushan mudah menolak masuk bola tampanan Hafizul Hakim pada minit ke-29.

Kedudukan 1-0 kekal berpihak kepada Sri Lanka sehingga berakhir babak pertama.

Menyedari aksi anak buahnya hambar di babak pertama, Cheng Hoe melakukan rombakan selepas rehat dengan memberi peluang buat Sumareh membuat penampilan sulung selain membawa masuk penyerang muda Akhyar Rashid.

Percaturan tersebut ternyata memberikan impak positif apabila empat gol berjaya dihasilkan dalam tempoh 25 minit terakhir sekaligus mengelak daripada diaibkan.

Malaysia menyamakan kedudukan 1-1 selepas penjaga gol Sri Lanka, Sujan Perera gagal menangkap kemas bola hantaran lintang Davies yang pantas dihukum Norshahrul pada minit ke-65.

Pada minit ke-76, Adam meletakkan skuad negara di depan apabila menanduk masuk bola hantaran sudut pemain gantian Syazwan Andik Ishak.

Sumareh menjadi pencetus jaringan ketiga apabila bola hantaran lintang pada minit ke-85 terbias pemain lawan sebelum menerjah ke jaring.

Pemain kelahiran Gambia yang mendapat kerakyatan Malaysia itu kemudiannya menambah gol keempat pada minit ke-91 menerusi gerakan satu-dua dengan Akhyar.

Selepas ini Harimau Malaya akan menghadapi dua lagi perlawanan persahabatan bertemu Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat (16 Oktober) dan Maldives di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 November.

Aksi persahabatan tersebut digunakan oleh Malaysia untuk menghadapi Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018, yang mana pasukan negara diletak dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here