Syed Saddiq: LTK Tidak Akan Dipecat Cuma…….

0
1039

 

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil memberi penjelasan mengenai kedudukan Lim Teong Kim (LTK) sebagai Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Khamis lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengambil keputusan drastik memecat Teong Kim sebagai ketua jurulatih skuad Bawah 16 tahun negara susulan kegagalan skuad tersebut melepasi saingan kumpulan Piala AFC (b-16) selepas tumpas 0-2 kepada Jepun.

Jelas Syed Saddiq, beliau bertanggungjawab ke atas pembangunan semua sukan yang lain.

“Ada kalanya, keputusan yang sukar perlu dibuat demi pembangunan sukan negara secara keseluruhan.

“Saya tidak memecat LTK dan NFDP akan diteruskan.

“Saya ingin ulang sekali lagi seperti apa yang saya katakan dalam kenyataan akhbar berkenaan hala tuju NFDP selepas kegagalan skuad negara dalam melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja Bawah 17 tahun di Peru tahun hadapan.

“Selepas sahaja perlawanan tersebut, pihak FAM telah memecat LTK sebagai jurulatih Skuad Bawah 16 Tahun Kebangsaan. Ini tiada kaitan dengan NFDP dan beliau masih merupakan Pengarah Akademi Bolasepak Negara yang sah di bawah NFDP sehingga kini,” jelasnya dalam satu kenyataan kepada media pada Sabtu.

Tambah Syed Saddiq lagi, beliau tidak boleh lari dari realiti NFDP kini menghadapi krisis kewangan yang sangat teruk.

“Dana khas dari Kerajaan Terdahulu yang dijanjikan sebanyak RM20juta setahun tidak turun seperti yang dijanjikan sejak tahun pertama NFDP dilancarkan (2014).

“Akibat dari masalah ini, MSN (Majlis Sukan Negara) hari ini terpaksa menggunakan dana mereka sendiri yang diambil dari peruntukan untuk keperluan lain bagi menanggung perbelanjaan NFDP.

“MSN bertanggungjawab untuk membangunkan semua sukan, tetapi kerana dana yang dijanjikan kerajaan terdahulu tidak diturunkan, dana MSN terpaksa digunakan.

“Dari RM20 juta yang dijanjikan setiap tahun diberi oleh kerajaan terdahulu, akhirnya pada tahun 2016 dan 2017, kita hanya terima RM3.5 juta setiap tahun,” jelasnya.

Oleh sebab krisis kewangan yang dihadapi NFPD ketika ini, Syed Saddiq menjelaskan pihaknya akan membuat penilaian semula terhadap pakej RM175,000 sebulan tanpa cukai yang diterima LTK ketika ini.

Jelasnya lagi, tindakan itu tidak bermaksud untuk persoal kelayakan bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu.

“Rakyat perlu maklum bahawa sebelum ini 80 peratus daripada gaji beliau dibayar oleh penaja tetapi semenjak dua tahun lepas, MSN menanggung kesemua pembayaran tersebut selepas penaja menarik diri. Tanggungjawab MSN kepada sukan lain akan turut terjejas.

“Saya juga mahukan LTK terus menerajui NFDP dengan kepakaran yang beliau ada, tetapi situasi kewangan yang ada pada MSN ketika ini tidak mampu untuk menanggung pakej yang sama.

“Jadi saya harap perbincangan dengan beliau bakal menemukan titik tengah yang menguntungkan kedua-dua belah pihak demi masa depan bola negara.

“Penilaian semula melalui jawatankuasa seperti yang saya katakan adalah bukan sahaja terhadap gaji pengurusan NFDP, tetapi ia akan merangkumi semua aspek dalam program tersebut pengurusan, pertandingan, perbelanjaan alatan dan paling penting, atlet muda kita,” tambah Syed Saddiq.

Syed Saddiq turut menjelaskan beliau mahu peruntukan terhad yang diberikan pada MSN perlu digunakan secara adil untuk pembangunan semua sukan di Malaysia.

“Ini termasuk sukan berprestasi tinggi yang lain yang juga memerlukan bantuan peruntukan dari pihak kerajaan. Sebagai contoh, semalam (Jumaat) sewaktu saya bersama kontinjen Paralimpik yang akan ke Sukan Asia, mereka menerima RM300 ribu untuk menampung perbelanjaan ke sana.

“Saya rasa sedih sebab ini tajaan bagi satu kontinjen besar, bukan satu pasukan atau satu sukan sahaja.

“Kalau boleh saya nak bantu mereka semua dengan adil. Saya berterima kasih kepada penaja-penaja yang sudi membantu kontinjen Paralimpik negara ke Sukan Asia,” ujarnya.

Selain itu, Syed Saddig memberitahu beliau akan melakukan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk mengambil kira peruntukan yang sesuai dan munasabah bagi membantu membangunkan bolasepak di peringkat pembangunan dan akar umbi ini bagi memastikan kecemerlangan bakat dan martabat bola sepak negara di masa hadapan.

“Kita perlukan lebih penglibatan daripada sektor korporat dalam pembangunan sukan negara. Dan ini bukan sahaja hanya tertumpu pada bola sepak malah dalam sukan-sukan yang lain juga. Paling penting, atlet muda kita semua dijaga dan tidak terabai masa depan mereka.

“Dalam proses penilaian semula PPBN, saya dengan rasa takzim ingin menjemput para peminat untuk sama-sama menyumbangkan idea bagi menambah baik program pembangunan akar umbi ini.

“Saya perlukan anda semua bantu dalam proses ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here