Tak Mustahil Harimau Malaya Mampu Tundukkan Gajah Perang…

0
244

 

Malam ini merupakan detik penting untuk skuad Harimau Malaya meneruskan perjuangan bagi merebut slot untuk beraksi di pentas final Piala AFF meskipun bakal berdepan kesukaran apabila bertandang ke stadium keramat Thailand bagi aksi separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala.

Buat masa ini, untuk rekod kemenangan skuad Malaysia ke atas skuad Thailand di Bangkok sejak 2004 belum pernah memihak kepada skuad Malaysia lagi. Namun, untuk memecahkan rekod itu bukanlah sesuatu  perkara yang mustahil jikalau anak didik Tan Cheng Hoe itu mampu mengulangi atau lebih mempertingkatkan rentak permainan seperti aksi pertama di Bukit Jalil.

Menurut pendapat bekas pemain kebangsaan, Lim Chan Yew, aksi menarik yang diperagakan oleh skuad kebangsaan pada separuh akhir pertama jelas menunjukkan ada peningkatan dengan corak hantaran pendek serta kawalan bola yang menyeluruh sepanjang aksi.

Tetapi masih ada sedikit kelemahan yang begitu ketara di bahagian serangan apabila penyerang gagal menyudahkan peluang dan beliau menyeru kepada pemain supaya bangkit dan tampil lebih berbisa.

“Tapi dalam bola sepak apa saja boleh berlaku. Malah, kalau lihat pada aksi pertama di Bukit Jalil, Malaysia jelas lebih baik daripada mereka cuma kita dikecewakan oleh sentuhan penyerang kita.

“Saya percaya jika pemain penyerang kita boleh menggunakan setiap peluang yang hadir, tak mustahil kita boleh menang di Bangkok nanti.

“Semuanya atas diri pemain kerana jurulatih tidak banyak masa untuk memperbaiki dalam tempoh tiga ke empat hari selepas tamat separuh akhir pertama,” katanya.

Selepas berakhirnya aksi pertama 0-0, pada aksi kedua ini Thailand tidak boleh seri dengan jaringan kerana bakal memberi kelebihan kepada Harimau Malaya menerusi gol di tempat lawan.

Menurut Chan Yew lagi, apa yang perlu dilakukan oleh pemain negara buat masa ini adalah sentiasa berwaspada dengan pergerakan penyerang skuad Gajah Perang yang gemar melakukan larian daripada belakang untuk memerangkap pertahanan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here