“Tanpa Akif, Kita Hanya Ada Dua Pemain Tengah”

0
198

 

Pemain tengah skuad bawah 22 tahun negara, Nik Akif Syahiran Nik Mat semakin pulih daripada kecederaan lututnya dan dijangka dapat diturunkan selewat-lewatnya pada perlawanan kedua Kumpulan B Kejuaraan AFF B-22, menentang Indonesia, 20 Februari ini.

Berita itu sedikit melegakan pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee selepas dihimpit masalah kekurangan pemain tengah akibat tidak mendapat kerjasama daripada pasukan-pasukan tertentu.

Bagaimanapun Kim Swee tidak mahu memperjudikan nasib Nik Akif dengan mengerah kudrat tonggak Kelantan itu seawal perlawanan pertama menentang tuan rumah, Kemboja 18 Februari ini.

“Dia (Nik Akif) akan pulih dalam tempoh sehari dua ini sebelum mengikuti latihan penuh bersama pasukan. Saya percaya dia boleh pulih sepenuhnya sebelum perlawanan kedua,” kata Kim Swee ketika ditemui pada sesi latihan di Bukit Jalil.

“Tanpa Akif, kita hanya ada dua pemain tengah. Jadi saya harap tiada lagi masalah lagi yang boleh jejaskan posisi tengah kita.”

Selain Nik Akif, dua lagi tonggak tengah yang menjadi sandaran Kim Swee adalah K Thivandaran dan Muhammad Danial Haqim Draman.

Sementara itu Nik Akif menegaskan dia perlu berusaha lebih keras untuk membantu pasukan setiap kali diberi peluang.

“Memang ada rasa terkilan apabila tidak dapat sertai latihan dan lihat pemain menjalani latihan penuh.

“Sekarang kecederaan saya bertambah pulih dan ini masanya untuk saya berusaha mencapai prestasi saya. Insya-Allah kami akan gunakan peluang yang diberi jurulatih,” kata Nik Akif.

-BERITA HARIAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here