Teong Kim Dipecat Selepas 3 Jam Tewas Kepada Jepun

0
4565

 

Jurulatih skuad bawah 16 (B-16) tahun negara, Lim Teong Kim telah ditamatkan kontrak berkuat kuasa serta merta setelah pasukan bimbingannya gagal merebut tiket ke Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan.

Pemecatan tersebut telah menjadikan bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu sebagai ‘korban’ pertama di atas kegagalan skuad Malaysia.

Khidmat Teong Kim ditamatkan menerusi satu pengumuman yang dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kira-kira tiga jam selepas skuad kendaliannya sekadar menamatkan saingan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di kedudukan tercorot peringkat kumpulan, hari ini.

“Keputusan dibuat berdasarkan prestasi skuad negara yang tidak melepasi saingan peringkat kumpulan.

“Datuk Hamidin sudahpun mengarahkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal memanggil Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia FAM untuk mengadakan mesyuarat bersama Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo secepat mungkin.

“Ini bagi membentuk panel pemilihan untuk mencari pengendali baharu skuad B-16 kebangsaan dan cadangan mereka itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diputuskan,” katanya Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramlingam.

Bagaimanapun, Teong Kim masih kekal selaku Pengarah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDF) kerana FAM tidak boleh campur tangan mengenai kedudukan tersebut.

“FAM tidak mengikat sebarang kontrak dengan Teong Kim sebaliknya jurulatih itu mempunyai perjanjian dengan KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kuasa FAM terhad kepada pelantikan ketua jurulatih dan panel penolongnya tetapi Teong Kim masih mempunyai baki kontrak bersama majikannya. Terpulang kepada KBS untuk menentukan masa depan Teong Kim,” kata Stuart.

Skuad B-16 rata-ratnya dibarisi oleh kelompok pertama yang dibentuk menerusi NFDF sejak empat tahun lalu.

Malaysia bermula garang dengan melakar kemenangan dalam saingan pembuka tirai dengan menumpaskan Tajikistan 6-2. Namun rentak kemenangan gagal diteruskan apabila skuad negara tewas 2-4 di tangan Thailand pada aksi kedua sebelum ditunduk Jepun 0-2 pada aksi terakhir Kumpulan A, hari ini.

Kekalahan tersebut telah meleburkan harapan skuad negara untuk mengulangi pencapaian anak didik S Balachandran yang hanya selangkah ke Piala Dunia B-17 2015 di Chile apabila tewas tipis 1-2 kepada Australia pada suku akhir di Thailand pada 2014.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here