Tewas Di Peringkat Kumpulan Tidak Semestinya Akan Tewas Juga di Final

0
131

 

Kapten skuad Harimau Malaya, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak yakin skuad negara mampu mengekang Vietnam pada aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2018, malam ini.

Bagi Zaquan tewas dalam aksi peringkat kumpulan tidak semestinya skuad negara akan tewas juga di pentas final.

Malah dia memberi contoh kejayaan merangkul emas Sukan SEA 2009 di Laos selepas menundukkan Vietnam 1-0 walaupun sebelum itu tewas 1-3 pada aksi peringkat kumpulan.

“Pentas final adalah satu perlawanan berbeza, suasananya sangat berbeza jika dibandingkan dalam saingan peringkat kumpulan.

“Pengalaman ini saya telah lalui sewaktu di Sukan SEA Laos. Kita tewas 1-3 di peringkat kumpulan tetapi menang bila jumpa mereka di final. Apa yang berlaku di peringkat kumpulan kita sudah belajar dan perbaiki…untuk final kali ini ia pasti lebih berbeza,” katanya pada sidang media praperlawanan, semalam.

Harimau Malaya tewas 0-2 di tangan skuad The Golden dalam aksi ketiga peringkat Kumpulan A di Stadium Nasional My Dinh meskipun berjaya mendominasi permainan.

Zaquan yang telah meledak tiga gol sepanjang kempen AFF 2018 turut mendedahkan pasukan negara telah melakukan persediaan lebih rapi bagi menghadapi Vietnam malam ini untuk memastikan Malaysia mampu membolosi gawang Vietnam yang gagal ditembusi sebelum ini.

“Untuk final satu persediaan yang berlainan dilakukan pasukan kerana ini adalah saat yang ditunggu-tunggu setiap pemain… bukan sahaja senior seperti saya tetapi juga pemain yang lebih muda.

“Saya berharap keserasian dan keharmonian dalam pasukan ketika ini akan diteruskan ke dalam padang dan berharap ia memberi kejayaan kepada pasukan esok (Selasa),” katanya.

Selepas aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil esok, Malaysia akan berdepan Vietnam sekali lagi di Hanoi untuk aksi final kedua yang dijadualkan Sabtu ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here