Thailand Mahu Jaringkan Gol Sebanyak Mungkin

0
121

 

Pengendali Thailand, Milovan Rajevac menuntut anak buahnya menyumbat seberapa banyak gol pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini sebagai bekalan untuk dibawa ke Bangkok.

Walaupun menyedari skuad Malaysia akan menyusung strategi terbaik untuk mempertahankan gawang daripada dibolosi, beliau tetap yakin dengan kemampuan yang dimiliki barisan serangan pasukannya.

Bagi Rajavec, amat penting untuk mereka menjaringkan gol di tempat lawan bagi memastikan tugas lebih mudah dapat dilaksanakan skuad Gajah Perang pada aksi kedua di Stadium Rajamangala, Rabu nanti.

“Esok (hari ini) adalah masa pertama (separuh akhir) dan separuh masa kedua akan berlangsung di Bangkok. Tapi paling penting kami perlu jaringkan gol (di Bukit Jalil).

“Kami tidak mahu keputusan negatif dan jaringan sangat penting bila anda beraksi di gelanggang lawan,” katanya pada sidang media di Stadium Nasional.

“Kami perlu bermain sebagai satu pasukan dan saya yakin pemain saya mampu memberikan persembahan berkualiti serta mendapatkan keputusan positif.”

Thailand bakal turun malam ini sebagai pasukan pilihan dengan status mereka selaku jaguh Asia Tenggara dan Juara bertahan Piala AFF.

Namun, skuad Gajah Perang itu mempunyai rekod kurang memberangsangkan di Bukit Jalil apabila tewas 2-3 kepada Harimau Malaya dalam pertemuan terakhir di final Piala AFF 2014.

Walau bagaimanapun, kemenangan 2-0 pada aksi final pertama di Bangkok menyaksikan mereka berjaya merangkul trofi kejuaraan dengan agregat 4-3.

Mengulas lanjut, Rajevac tidak menafikan barisan pemainnya perlu bijak menyerap segala tekanan khususnya daripada puluhan ribu penyokong Harimau Malaya yang akan membanjiri stadium.

“Saya fikir sokongan padu penyokong Malaysia juga membantu mereka meraih kemenangan 3-0 ke atas Myanmar sebelum ini.

“Seperti yang saya katakan, kami beraksi dengan baik di gelanggang sendiri dan tempat lawan. Stadium ini (Bukit Jalil) juga menarik dengan sokongan peminat yang sangat cintakan bola sepak.

“Ia akan menyumbang kepada aksi lebih baik di atas padang. Kami sudah lama tidak menang di sini, dan kami akan lakukannya esok,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here