Tiada Jalan Mudah Untuk Harimau Malaya!

0
299
Foto: FOX Sports

 

Tiada jalan mudah untuk Harimau Malaya melangkah ke separuh akhir. Itulah amaran yang diberikan Myanmar apabila mereka sedia memberi tentang hebat kepada skuad negara pada pertembungan terakhir Kumpulan A Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Myanmar membuktikan kemampuan mereka tidak boleh diperkecilkan apabila berjaya mengikat pasukan pilihan, Vietnam 0-0 di Yangon, semalam.

Keputusan seri yang dicapai skuad kendalian jurulatih Jerman, Antoine Hey itu membolehkan mereka berkongsi tujuh mata dengan Vietnam namun kekal ditangga teratas menerusi kelebihan jaringan dan hanya perlu seri dengan Malaysia untuk mara ke pusingan seterusnya.

Bagi pemain tengah Myanmar Hlaing Bo Bo, dia percaya pasukannya kini berhak bergelar sebagai pencabar kejuaraan berdasarkan prestasi semasa mereka.

“Sememangnya saya tahu bahawa Vietnam dan Thailand adalah pasukan terkuat tapi malam ini (semalam) kami membuktikan bahawa kami memiliki kualiti dan menujukkan betapa bahayanya kami,” katanya dalam satu kenyataan di www.affsuzukicup.com.

Untuk rekod, Myanmar tidak pernah mara ke final dengan pencapaian di Piala AFF adalah beraksi di separuh akhir pada edisi 2004/5 dan 2016 di mana mereka menyingkirkan skuad negara dengan kemenangan 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan B di Yangon.

Walaupun satu mata sudah cukup untuk membawa skuad The White Angles ke separuh akhir, namun Bo Bo menegaskan kemenangan tetap menjadi buruan mereka.

“Kami tidak akan bermain untuk mendapatkan satu mata dan seri, hanya tiga mata dan kemenangan saja yang menjadi sasaran kami,” kata pemain yang kini mewakili kelab Yadanarbon FC itu.

Namun dalam masa yang sama dia mengakui Malaysia, juara 2010 tidak mudah dikalahkan apatah lagi bakal mendapat sokongan padu penyokong sendiri seperti yang mereka rasai ketika beraksi di Yangon semalam.

“Kami bermain sangat baik (menentang Vietnam), bukan hanya saya seorang tapi seluruh pasukan. Kami mahu membalas semula sokongan penyokong yang ramai datang ke stadium malam ini (semalam) dan sekarang kami fokus pada perlawanan seterusnya dan memastikan kami mendapat mata yang kami perlukan,” kata Bo Bo.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here