Tiga Tonggak Pertahanan Kembali Perkuat Harimau Malaya Untuk ‘Baham’ Vietnam

0
340

Skuad Harimau Malaya mendapat suntikan semangat menghadapi Vietnam pada aksi final kedua Piala AFF 2018, setelah tiga tonggak utama di bahagian pertahanan kembali untuk perkuatkan skuad negara bagi aksi berkenaan di Stadium My Dinh, Hanoi pada Sabtu ini.

Tiga pemain berkenaan adalah dua tonggak pertahanan yang kembali pulih daripada kecederaan iaitu Aidil Zafuan Abd Radzak (pertahanan tengah), Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak (pertahanan kiri) serta kembalinya Muhammad Syahmi Safari (pertahanan kanan) daripada penggantungan satu perlawanan.

Situasi tersebut jelas melegakan pengendali negara, Tan Cheng Hoe menjelang aksi genting di Hanoi nanti setelah dua pasukan seri 2-2 dalam final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lepas.

“Kita harap dengan kembalinya tiga pemain pertahanan ini, ia sedikit sebanyak membantu kita di barisan pertahanan, namun kita tahu serangan Vietnam agak pantas, cepat mengambil peluang dan pemain perlu fokus selain kubu negara tidak dibolosi,” katanya kepada Bernama sebelum berlepas ke Hanoi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan akan berlakunya perubahan formasi terutamanya di bahagian pertahanan selepas kubu skuad negara mudah diperkotak-katikkan pada aksi final pertama sebelum ini.

“Pemain juga sudah tahu keadaan cuaca di sana, mungkin hujan atau keadaan sejuk dan pemain kena bersedia untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sana nanti,” jelas Cheng Hoe.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here