Tuck: Umur Hanyalah Sekadar Nombor, Saya Masih Mampu Menyumbang Untuk Harimau Malaya

0
225
Foto: Terengganu FC

 

Lee Tuck yang kini berada dalam senarai pemain yang akan didaftarkan sebagai pemain tempatan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui tidak takut dilebalkan sebagai ‘kuda tua’ kerana usianya yang bakal memasuki 31 tahun musim depan.

Malah pemain yang digelar ‘Rooney Ganu’ itu yakin mampu menjadi ‘jeneral’ skuad kebangsaan sekiranya diberi peluang kerana dia sedar kudratnya masih bertenaga dan sentuhannya masih berbisa.

“Ya saya dah berumur 30 tahun dan boleh dikatakan berada di hujung karier oleh sesetengah pemain bola sepak profesional. Tapi ingin saya maklumkan umur hanyalah sekadar nombor, saya masih mampu menyumbang tenaga kepada Harimau Malaya seandainya diberi peluang.

“Malah saya akan rasa teruja dan gembira kerana baharu sahaja merasai musim terbaik terutama bersama TFC. Lamaran FAM ini sudah pasti tidak akan saya tolak kerana percaya saya boleh bantu,” kata Tuck kepada Sukan NSTP.

Nama pemain import Terengganu FC (TFC) itu dikatakan berada dalam radar pemain asing yang bakal menyarung jersi Harimau Malaya bersama dua lagi pemain iaitu bekas pemain import Kedah, Liridon Krasniqi dan penyerang import Kuala Lumpur, Guilherme De Paula.

Peluang Tuck dilihat lebih cerah untuk menyarung jersi skuad kebangsaan kerana dia memiliki pertalian darah disebabkan neneknya berasal dari Malaysia.

Ditanya mengapa dia berminat untuk menyarung jeris Harimau Malaya, Tuck menyatakan faktor peminat dan pemain naturalisasi, Mahamadou Sumareh membuatkan dia teruja untuk beraksi bersama skuad negara.

“Para penyokong sering tanya adakah saya berminat menyertai skuad kebangsaan dan bila saya akan berbuat demikian. Saya dah katakan yang saya sangat berminat untuk menyertainya selain melihat kelibat Sumareh dalam skuad Piala AFF baru-baru ini,” kata Tuck.

Featured Image: Terengganu FC (TFC)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here