Ultras Perlis Mahu Presiden Dan Timbalan PFA “Sila Letak Jawatan”

0
73

 

“Nasi dah jadi bubur”, apa yang penting sekarang ini rombakan besar-besaran perlu segera dibuat dalam Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), demikian tegas wakil Ultras Perlis.

Sedih, kecewa, geram bukan sahaja dirasai pemain, malah penyokong-penyokong setia Singa Utara turut mengalami perasaan bercampur aduk itu.

Menurut wakil Ultras Perlis Brigate Gialloblu (BGB Perlis) yang hanya mahu dikenali Arman, mereka mahu presiden dan timbalannya segera tinggalkan PFA.

“Perkara pertama yang kami ingin lihat adalah presiden (Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie) dan timbalannya serta beberapa orang lagi berambus daripada PFA.

“Letak sahaja jawatan tu, dah terlalu banyak mereka kenakan semua orang. Selagi mereka ini ada dalam persatuan, selagi itulah Perlis terus berdepan masalah. Kami memang dari awal lagi tak percaya dengan janji-janji manis yang dibuat,” dakwa Arman.

Jelas Arman, dari awal lagi sebagai penyokong mereka tidak kisah jika tidak bermain dalam Liga Premier berdasarkan situasi kewangan yang tidak kukuh sebelum ini.

“Tetapi kehadiran presiden yang ‘game’ kan semua orang termasuk Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hingga mereka percaya dan beri peluang kepadanya.

“Semalam (Khamis) kami dengar wakil PFA ada bertanya kepada MFL untuk cuba membuat rayuan selepas Perlis dibatalkan penyertaan dalam Liga Malaysia.

“Bagi kami tak perlulah merayu kerana dengan keadaan tunggakan gaji pemain, ia tidak adakan mengubah apa-apa. Saya percaya, MFL sendiri tidak akan termakan lagi janji-janji mereka. Kalau nak bantu Perlis, sila letak jawatan. Itu yang terbaik.

“Selepas mereka letak jawatan, baharulah akan ada perancangan daripada orang baharu yang lebih telus dalam pengurusan ini. Kami ada berjumpa dengan beberapa bekas pemain Perlis yang sedia membantu persatuan membina kembali pasukan.

“Sekarang ini, bukan sahaja pasukan utama sahaja yang hilang, sebaliknya pasukan belia, presiden serta futsal juga terkubur. Semua ini perlu bermula semula dari bawah.

“Dan kami lebih sanggup melihat Perlis bermula dari liga bawahan seperti Liga M5 atau M4 asalkan pengurusan berubah,” tambahnya.

Sebagai rekod, Rabu lalu MFL membatalkan penyertaan pasukan Perlis dalam Liga Malaysia musim ini selepas mendapati pasukan yang bersaing dalam Liga Premier itu tidak memiliki jaminan kukuh daripada struktur kewangan bagi terus bertahan musim ini.

mstar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here