United Akan ‘Hanyut’ Di Satmford Bridge?

0
261

 

Minggu ini aksi tumpuan sudah pasti membabitkan pertemuan antara pencabar utama kejuaraan liga, Chelsea dan pasukan sedang dilanda `gelora’ Manchester United.

Gelanggang saingan aksi ini adalah di Stamford Bridge. Pasukan mana bakal menang? Berapa jumlah jaringan? Itu dua soalan yang pantas keluar dari peminat EPL sebelum sepak mula jam 7.30 malam ini waktu Malaysia.

Usahlah tanya penyokong tegar kedua-duanya. Pasti jawapan diterima cenderung memihak kepada pasukan masing-masing. Tiada istilah kalah dalam kamus mereka, biarpun hakikatnya ada pertimbangan harus dilihat.

Sebelum pertemuan malam ini, Chelsea di tangga kedua liga, berkongsi mata dengan Manchester City selaku pendahulu dan Liverpool di tempat ketiga. Seperti City dan The Reds, mereka juga belum pernah tewas setakat ini.

Dengan kedudukan mantap itu, jelas jurulatih Maurizio Sarri sudah membuktikan wibawa sebagai antara jurulatih paling menyerlah setakat ini.

Ditambah lagi dengan prestasi terbaik dipamerkan oleh ayam tambatan mereka, Eden Hazard menerusi tujuh gol setakat ini, The Blues seharusnya paling digeruni ketika ini.

United pula di tangga kelapan, ketinggalan tujuh mata di belakang The Blues selepas lapan perlawanan. Mereka tewas kepada Brighton, West Ham dan Tottenham Hotspur.

Seperti diketahui ramai, pengendali United, Jose Mourinho sebelum ini memenangi tiga gelaran EPL sepanjang dua kali menjadi jurulatih Chelsea dan pengalaman itu pastinya memberikan dia motivasi untuk mengecewakan Sarri malam ini.

Dengan kedudukan semasa yang masih goyah, hingga menyebabkan kedudukan Mourinho turut berdepan risiko disingkir, aksi malam ini diramal bakal menyebelahi tuan rumah.

Sebelum berkunjung ke Stamford Bridge malam ini, United tidak pernah menang dalam enam aksi terakhir sejak Alex Ferguson bersara pada musim 2012-2013.

Satu lagi kekalahan malam ini, Red Devils akan menyamai rekod pada musim 2014-2015 iaitu himpunan mata paling rendah selepas sembilan perlawanan pembukaan – keputusan yang pastinya tidak diingini oleh pengurusan dan penyokong setia United.

Sementara itu, City dijangka tiada masalah untuk mengutip mata penuh lagi apabila menyambut kunjungan Burnley bagi mengukuhkan kedudukan di puncak.

Selepas terikat 0-0 dengan The Reds di Anfield pada aksi terakhir, skuad Pep Guardiola sudah pasti tidak mahu terlepas mata lagi, ketika penyerang Raheem Sterling kembali mendapat sentuhan berbisa ketika membantu England mengejutkan Sepanyol minggu ini.

Begitu juga, Liverpool yang bertandang ke Stadium John Smith untuk bertemu dengan Huddersfield bagi mengekalkan rekod cemerlang tanpa kalah. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

Chelsea 2 Man United 0

West Ham 1 Tottenham 2

Newcastle 1 Brighton 1

Bournemouth 2 Southampton 1

Cardiff City 1 Fulham 1

Wolves 0 Watford 0

Man City 4 Burnley 1

Huddersfield 0 Liverpool 2

Everton 1 Crystal Palace 2

Arsenal 3 Leicester 1

Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here