Usah Gentar Beraksi Di Larkin, Irfan Mahu Anak Buahnya Buru Gol

1
1433

 

Jurulatih Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim bertekad mahu membantu skuad Peteh mengakhiri penantian pasukan itu mara ke pentas final Piala Malaysia sejak 2011.

Oleh itu, Irfan menganggap kejayaan menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassn Yunos tiga tahun lepas sebagai motivasi untuk dia sekali lagi menewaskan skuad Harimau Selatan itu.

Ketika membimbing Felda United, Irfan antara jurulatih yang pernah mencipta sejarah di Larkin dengan menewaskan JDT dalam aksi suku akhir Piala Malaysia pada November 2015.

Untuk musim ini pula, Harimau Selatan dijinakkan di gelanggang keramat mereka sebanyak dua kali apabila tumpas kepada Pahang dan MIFA.

Kejayaan yang diperolehi dua pasukan itu menjadi pemangkin buat Irfan untuk melakukan perkara yang sama.

“Ia motivasi buat saya.

“Saya sentiasa berpesan kepada barisan anak buah bahawa Pahang, MIFA telah mencipta kemenangan di sini manakala saya pernah membawa Felda mencapai kemenangan di Larkin.

“Ini bermakna, tidak mustahil kami boleh melakukannya di sini,” kata Irfan.

Terengganu FC bertandang ke Larkin dengan kelebihan jaringan tunggal Abdul Malik Ariff dalam pertemuan separuh akhir pertama di Kuala Terengganu, dua minggu lalu.

Irfan dijangka akan mengekalkan barisan utama yang sama kerana pasukan itu bebas daripada penggantungan dan kecederaan.

Ditanya mengenai percaturan malam ini, Irfan tidak mahu anak buahnya menampilkan corak bertahan dan mengharapkan gandingan Tchetche Kipre dan Ashari Samsudin dapat merobek gawang lawan.

“Ia akan menjadi 90 minit yang panjang, namun kami akan main macam biasa, tidak akan bertahan sahaja, sebaliknya mencari gol di tempat lawan.

“Saya meminta pemain supaya lebih fokus, usah ada perasaan gentar,”¬†katanya.

Pengendali berpengalaman itu menyedari tugas getir menanti Sang Penyu dalam aksi malam ini tetapi beliau merasakan JDT lebih tertekan.

“Pelbagai cabaran akan dihadapi TFC di Larkin di depan ribuan penyokong mereka.

“Sebenarnya JDT yang lebih tertekan dan diharap pengadil bertugas dapat mengawal perlawanan dengan baik,” tambahnya.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here