Vietnam Lebih ‘Power’ Daripada Malaysia

0
231
FOTO: FB Vietnam Football

 

Skuad Naga Emas gah bergelar sebagai Raja Asia Tenggara yang baharu apabila berjaya menumpaskan Malaysia 1-0 (agregat 3-2) dalam aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018, Sabtu malam.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi, ngauman Harimau Malaya tidak bermaya dan terpaksa akur gagal merealisasikan impian menjulang trofi AFF Suzuki buat kali kedua.

Skuad Harimau Malaya yang membawa bekalan dua gol ke Hanoi selepas aksi pertama Selasa lalu, namun dikejutkan seawal minit ke-6 menerusi Nguyen Anh Duc yang menyudahkan hantaran Nguyen Quang Hai.

Bagaimanapun, visual ulang tayang menampakkan Anh Duc terlebih dahulu di kedudukan ofsaid sebelum melepaskan sepakan ‘first-timer’ yang berjaya menewaskan penjaga gol negara, Farizal Marlias. Namun pengadil perlawanan dari Iran, Alireza Faghani tetap memberikan gol buat pasukan tuan rumah.

Anak buah Tan Cheng Hoe cuba bangkit dengan beberapa gerakan dan Mohamadou Sumareh hampir menyamakan kedudukan lima minit kemudian, namun kuisan ke belakang pemain Pahang itu sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol tuan rumah.

Hanya pada minit ke-43, barulah Harimau Malaya memperoleh percubaan tepat daripada pertahanan kanan, Syahmi Safari namun ditepis keluar penjaga gol Vietnam, Dang Van Lam.

Bersambung ke babak kedua, pasukan negara banyak mendoiminasi bola dengan beberapa percubaan namun ternyata tuah tidak memihak kepada mereka.

Bagaimanapun, jentera serangan Malaysia kelihatan tumpul, buntu dan tidak senada. Setiap gerakan berjaya dipatahkan barisan pertahanan lawan yang terus melancarkan serangan balas yang hampir merobek lagi maruah skuad negara.

Corak permainan bertahan dipamerkan Vietnam di samping mengharapkan serangan balas tampak menyukarkan Harimau Malaya untuk menembusi kubu mereka.

Kemasukan Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid dan Shahrel Fikri dalam tempoh kira-kira 15 minit terakhir juga gagal memberi impak besar buat Harimau Malaya mencipta kebangkitan.

Sebaliknya, malang terus menimpa anak buah Cheng Hoe apabila tonggak pertahanan tengah Shahrul Saad dilayangkan kad merah pada masa kecederaan.

Harimau Malaya tewas tanpa menampilkan kemampuan sebenar mereka sepertimana dalam perlawanan menentang Myanmar di peringkat kumpulan. Tetapi anak buah Park Hang-seo bukanlah Myanmar.

Nyata, Vietnam adalah lawan yang sudah berada di kelas yang lebih baik. Kini mereka berada di tangga ke-100 dunia, terbaik di rantau Asia Tenggara dan sememangnya mereka layak untuk menjulang gelaran edisi kali ini.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here