Walau Apa Cara Sekalipun, Jepun Wajib Ditumpaskan!

0
987

 

Malaysia bakal berdepan misi ‘hidup mati’ apabila wajib menumpaskan Jepun bagi merebut tiket ke Piala Dunia bawah 17 (B-17) di Peru, tahun depan.

Aksi terakhir Kumpulan A Kejohanan Bawah 16 (B-16) AFC itu akan bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, pukul 4.30 petang ini.

Kemenangan akan membolehkan Malaysia menamatkan kempen selaku dua pasukan teratas, sekali gus layak ke suku akhir.

Jurulatih skuad B-16 negara, Lim Teong Kim menegaskan dia akan melakukan apa sahaja bagi memastikan kemenangan menjadi milik anak-anak buahnya walaupun menyedari lawan mereka bukan calang-calang.

“Ketika ini, saya hanya fikir untuk melayakkan diri ke Piala Dunia B-17 dan saya tahu perlawanan esok (petang ini) cukup penting untuk kami dan fokus kami tertumpu kepada pertemuan tersebut yang akan jadi penentu segalanya.

“Kami bermain untuk menang dan tiada cara lain. Kami akan keluar bermain seperti biasa untuk mencapai kemenangan. Jika nak ke suku akhir kami mesti menang. Saya tidak mahu fikir tentang pasukan lain kerana saya hanya ambil peduli tentang pemain saya sahaja.

“Kita sudah lihat bagaimana Tajikistan boleh mencuri satu mata daripada Jepun. Jadi, tiada apa yang mustahil. Diharapkan esok (petang ini) adalah hari yang bertuah untuk kita,” kata Teong Kim.

Melihat kepada kedudukan Kumpulan A, semua pasukan masih berpeluang untuk melepasi peringkat awal selepas Jepun menduduki tangga teratas dengan hanya empat mata. Thailand pula berada di tangga kedua berkongsi tiga mata dengan Malaysia namun dipisahkan menerusi perbezaan gol. Tajikistan di tangga tercorot dengan hanya satu mata.

Selepas dua perlawanan, pasukan Malaysia telah mengutip dua kad merah. Namun Teong Kim beranggapan pemainya dalam proses pembelajaran.

“Adakalanya mereka bersikap tidak rasional tetapi kalau bukan sekarang bila lagi mereka nak diberikan peluang untuk buat silap dan sebab itu kita perlu pembangunan bola sepak untuk kanak-kanak dan remaja,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here