Yusri Kekal Bersama TRW

0
1088

 

Yusri Che Lah akhirnya menamatkan spekulasi mengenai masa depannya apabila mengambil keputusan terus mengemudi skuad The Red Warriors (TRW) bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan yang mengatakan Yusri telah menandatangani kontrak baharu.

Jelas Bibi Ramjani lagi, hasil perbincangan pada 12 November lalu, jurulatih kelahiran dari Perlis itu bersetuju menyambung kontrak setahun lagi sehingga 2019.

“Hasil pertemuan dengan Yusri memberikan keputusan positif memandangkan kita mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk kembali ke Liga Super musim 2020.

“KAFA secara rasmi bersetuju melantik Yusri sebagai ketua jurulatih Kelantan musim depan,” katanya kepada Berita Harian.

Pengesahan tersebut pastinya melegakan penyokong setia TRW kerana sebelum ini Yusri dikatakan akan meninggalkan pasukan untuk mengemudi skuad Kuala Lumpur.

Bibi Ramjani mengatakan, KAFA menyerahkan sepenuhnya mandat kepada bekas jurulatih FELCRA FC itu untuk menentukan pemain tempatan dan import yang diperlukan pasukan untuk mengharungi saingan Liga Perdana musim depan.

Pada musim 2018, Yusri diberikan mandat sebagai jurulatih 2018 selepas dua jurulatih import pasukan itu – Sathit Bensoh (Thailand) dipecat dan Fajr Ibrahim (Syria) melepaskan jawatan masing-masing pada awal dan pertengahan musim ini.

Yusri turut diberi tanggungjawab besar apabila KAFA menetapkan sasaran untuk berada di kelompok teratas liga untuk melayakkan TRW kembali bersaing semula di Liga Super.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here