Yusri Sasar Kelantan Berada Dalam Kelompok Teratas Liga Perdana

0
1456

 

Selasa lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan mengumunkan kontrak Yusri Che Lah dilanjutkan sehingga 2019 selaku ketua jurulatih Kelantan.

Musim ini, Yusri hanya bertindak sebagai pemangku penolong jurulatih dan berjaya membantu skuad The Red Warriors (TRW) muncul naib juara Kumpulan C saingan Piala Malaysia, sekali gus layak beraksi di suku akhir namun tewas kepada Sabah.

Dengan peranan sebagai ketua jurulatih, Yusri menyasarkan skuad kendaliannya berada dalam kolompok teratas Liga Perdana dalam saingan musim depan.

Bekas pemain kebangsaan dan Perlis itu mengakui dia perlu bekerja keras untuk membentuk skuad yang mantap bagi bersaing merebut kedudukan kedua teratas bagi melayakkan TRW kembali beraksi di Liga Super 2020.

“Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dengan menyasarkan kembali ke Liga Super musim 2020.

“Di sebalik gembira apabila kontrak saya dilanjutkan setahun lagi sehingga 2019 selaku ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), saya akui ia cukup mencabar berdepan pasukan berpengalaman dalam saingan Liga Perdana.

“Saya jangkakan 90 peratus pemain yang beraksi musim ini kekal termasuk import dari Brazil,Cassio Fransisco De Jesus dan sebahagiannya menyaksikan barisan pemain muda masih menjadi nadi pasukan musim depan.

“Saya juga dikhabarkan beberapa pemain seperti penjaga gol, Faridzuean Kamaruddin dan Ahmad Haziq Puad bakal berhijrah ke pasukan lain namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk mencari pengganti yang sesuai kelak.

“Kekosongan posisi tengah dan penyerang bakal diisi pemain baharu bagi menggantikan pemain import dari Kyrgyzstan, Bakhtiyar Duishobekov dan Cristiano Santos (Brazil).

“Namun, saya optimis kepercayaan diberi pengurusan KAFA turut membantu saya membentuk skuad terbaik untuk bersaing dengan pasukan dibarisi pemain yang jauh lebih bagus dan berpengalaman,” katanya kepada Berita Harian.

Justeru, Yusri turut mengharapkan sokongan padu daripada pengurusan, staf kejurulatihan dan pemain dalam merealisasikan misi tersebut.

Katanya, pemain-pemain TRW akan memulakan latihan pada awal Disember ini untuk mempersiapkan pasukan dengan memberi tumpuan aspek kecergasan pemain yang berehat panjang selepas berakhir saingan Piala Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here